Skip to content

Keperluan Mendesak untuk Menangani Keganasan Terhadap Wanita selepas Insiden Tembakan KLIA Terminal 1

Kenyataan Media – Untuk Penerbitan Segera

Kuala Lumpur, 16 APRIL 2024

Keperluan Mendesak untuk Menangani Keganasan Terhadap Wanita selepas Insiden Tembakan KLIA Terminal 1

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyatakan rasa gusar dan solidariti ke atas semua yang terkesan dengan insiden tragis tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1 pada 14 April 2024. 

Insiden ini yang disyaki dirancang oleh suami pemandiri sendiri menunjukkan keperluan yang mendesak untuk menangani keganasan terhadap wanita dalam masyarakat dan bagaimana ia boleh membawa kepada pembunuhan.

Kami memuji tindakan tegas dan segera pihak berkuasa dalam menahan suspek yang disyaki, Hafizul Harawi. Namun, harus kita akui bahawa kes ini bukanlah kes terpencil. Pemandiri sebelum ini telah membuat dua laporan polis terhadap suaminya, menunjukkan peningkatan ancaman yang dilaluinya.

Kita memerlukan pendekatan yang komprehensif dan tertumpu kepada pemandiri untuk menangani keganasan ke atas wanita. Realiti hidup wanita termasuk laporan yang dibuat wajib diambil serius dan haruslah melibatkan pendekatan untuk menangani isu tersebut. Ini merangkumi langkah pencegahan, perkhidmatan sokongan pemandiri yang dipertingkatkan dan penguatkuasaan undang-undang yang mantap. Keganasan terhadap wanita bukan sahaja pencabulan hak individu tetapi juga halangan yang ketara untuk mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial.

Langkah proaktif yang diambil oleh pihak berkuasa dalam kes ini adalah dipuji dan menekankan kepentingan usaha kolaboratif dalam menangani keganasan terhadap wanita. Kami menggesa pihak polis untuk meneruskan usaha mereka dalam memastikan pelaku keganasan berasaskan gender dibawa ke muka pengadilan dan pemandiri menerima sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan mereka.

Di WAO, kami tetap dengan komitmen untuk memperjuangkan hak dan kesejahteraan pemandiri dan memerangi semua bentuk keganasan terhadap wanita di Malaysia. Keganasan terhadap wanita dan keganasan berasaskan gender adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius dan merupakan penghalang untuk mencapai kesaksamaan gender. WAO menyeru tindakan segera untuk mencegah dan respon terhadap keganasan tersebut. Ini termasuk langkah undang-undang yang utuh dan perkhidmatan sokongan komprehensif untuk pemandiri.

Menteri Dalam Negeri telah berkongsi statistik yang merisaukan berkenaan kes bunuh yang melibatkan pasangan berkahwin iaitu sebanyak 22 kes sepanjang tempoh tahun 2019 hingga Oktober 2023.

Kami menggesa perkara berikut:

  • Kempen di seluruh negara, pembaharuan undang-undang dan mekanisme sokongan pemandiri yang dipertingkatkan untuk mencegah keganasan terhadap wanita mesti kekal sebagai keutamaan, bertujuan untuk menangani punca utama keganasan terhadap wanita.
  • Perkhidmatan tertumpu kepada pemandiri, termasuk kaunseling, bantuan undang-undang, dan penempatan tempat perlindungan, mesti disediakan kepada pemandiri untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

WAO berharap untuk bekerja rapat dengan Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga, bergandingan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk agensi kerajaan, penguatkuasa undang-undang, organisasi masyarakat sivil, dan komuniti yang lebih luas – ke arah mewujudkan satu masyarakat di mana setiap wanita boleh hidup bebas daripada keganasan dan ketakutan.

Untuk nasihat lanjut, anda boleh hubungi WAO Hotline di 03 3000 8858 atau SMS/WhatsApp TINA di +6018 988 8058, atau boleh hubungi Talian Kasih 15999 untuk sokongan. Sila hubungi polis melalui talian 999 atau membuat laporan di balai polis berdekatan sekiranya anda mengalami sebarang bentuk keganasan.

Back To Top