Media Statement – For Immediate Publication Kuala Lumpur, 30 MAY 2024 Women's Aid Organisation (WAO)…
RM21 juta diperuntukkan untuk pusat-pusat keganasan rumahtangga dalam Belanjawan 2021. Berikut adalah 5 perkara yang diperlukan bagi menjadikan peruntukan ini bermakna.
ENGENDER Consultancy dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melihat positif peruntukan RM21 juta kepada ‘pusat-pusat bantuan sosial setempat’ bagi keganasan rumahtangga dan juga peruntukan MySTEP bagi pekerja sosial jangka pendek dan pegawai-pegawai perubatan dalam Belanjawan 2021.
Kami berterima kasih kepada Pejabat Belanjawan Nasional Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) atas penganjuran dialog bersama masyarakat awam dan mengambil kira input bagi menambahbaik kehidupan pemandiri keganasan rumahtangga.
Peruntukan khusus yang bertujuan untuk mendepani keganasan rumahtangga ini merupakan satu langkah yang dialu-alukan. Walaubagaimanapun, berhadapan dengan keganasan rumahtangga memerlukan pendekatan yang holistik. Bagi memastikan peruntukan RM21 juta ini dimanfaatkan dengan baik dan menambaik kehidupan pemandiri keganasan rumahtangga dapat dicapai, kami menyarankan lima langkah ini:
-
Memastikan peruntukan RM21 juta dimanfaatkan dengan baik, dipantau, dan dinilai untuk impak.
Peruntukan bagi keganasan rumahtangga bukan sahaja amat penting, malah kita juga perlu memastikan peruntukan tersebut diagihkan dan dipantau dengan sewajarnya, serta dinilai impaknya. Oleh itu, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keganasan Rumahtangga di bawah KPWKM perlu diwujudkan dan merangkumi perwakilan daripada pihak kerajaan dan masyarakat awam.
Jawatankuasa ini akan dapat memastikan dana disalurkan dengan cara yang memaksimakan peruntukan dan ketersampaiannya kepada rumah-rumah perlindungan keganasan rumahtangga. Jawatankuasa ini juga boleh memantau dan menilai impak dan agihan peruntukan untuk kitaran belanjawan persekutuan dan negeri.
-
Memastikan rumah-rumah perlindungan keganasan rumahtangga mematuhi amalan dan piawaian terbaik (contohnya seperti yang telah digariskan di dalam Toolkit dan Piawaian Rumah Perlindungan Keganasan Rumahtangga yang telah diwujudkan oleh WAO dan KPWKM)
Ketika ini, tidak terdapat keseragaman piawaian bagi rumah-rumah perlindungan keganasan rumahtangga di seluruh negara. Kesannya, wujud perbezaan yang ketara di dalam skop perkhidmatan yang disediakan oleh rumah-rumah perlindungan. Tahap keselamatan antara lainnya, serta pengalaman pemandiri juga berbeza jauh, bergantung kepada rumah perlindungan yang telah dirujuk atau yang berdekatan dengan mereka.
Untuk berhadapan dengan isu ini serta menghapuskan perbezaan ini, amat penting bagi kerajaan melaksanakan piawaian rumah perlindungan yang seragam di peringkat persekutuan. Piawaian ini telah digariskan dalam Toolkit dan Piawaian Rumah Perlindungan Keganasan Rumahtangga yang telah diwujudkan oleh WAO dan KPWKM.
Pelaksanaan piawaian ini di peringkat persekutuan memerlukan kepatuhan oleh organisasi-organisasi yang menerima dana persekutuan. Ia akan membantu memastikan aspek-aspek utama dalam pengalaman wanita kekal konsisten dan seragam walau di rumah perlindungan mana pun mereka berada.
-
Memastikan perkhidmatan- perkhidmatan penting keganasan rumahtangga tersedia (contohnya seperti hotline krisis)
Amat penting untuk memastikan rumah-rumah perlindungan keganasan rumahtangga boleh diakses oleh para pemandiri pada masa yang memerlukan disediakan oleh platform tambahan seperti hotline krisis. Hotline adalah titik pemula bagi para pemandiri untuk mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai pilihan yang tersedia untuk mereka termasuklah ke mana hendak dituju sekiranya mereka sedang berhadapan dengan bahaya atau telah bersedia untuk meninggalkan situasi keganasan.
Hotline seperti talian dan SMS/Whatsapp WAO 24 jam dan Talian Kasih oleh KPWKM membolehkan para pemandiri untuk mengakses bantuan pada bila-bila masa sama ada siang atau malam. Ia juga membolehkan petolongan segera diberikan kepada para pemandiri yang tinggal di tempat yang terpencil atau tidak mempunyai jalan untuk meninggalkan rumah mereka untuk mendapatkan bantuan.
Ianya juga amat penting untuk memastikan wujudnya sumber dan pekerja yang mencukupi di rumah-rumah perlindungan dan pekerja yang ada perlulah terlatih dan berpengetahuan mengenai keganasan berasaskan gender dan sokongan-sokongan yang tersedia.
-
Memastikan pelaburan dalam respon kepada keganasan rumahtangga berterusan.
Malangnya, keganasan rumahtangga bukanlah satu fenomena yang berlaku secara tiba-tiba atau bersifat sementara. Ianya memerlukan pelaburan yang khusus dan berterusan daripada masyarakat bagi mengatasinya. Antaranya, pelaburan dalam respon kepada keganasan rumahtangga dan infrastruktur perlu dijadikan komponen utama dalam setiap peruntukan belanjawan tahunan di peringkat persekutuan dan negeri, dan berbagai-bagai lagi aspek dalam pengalaman pemandiri haruslah diambil perhatian.
Contohnya, sementara rumah perlindungan adalah kritikal kepada pemandiri ketika fasa krisis apabila mereka meninggalkan situasi keganasan, pemandiri kebiasaannya memerlukan sokongan yang berterusan untuk kembali berdikari dan boleh menyara diri mereka sendiri. Oleh itu, peruntukan bagii kediaman sementara berkos rendah bagi pemandiri setelah mereka meninggalkan rumah perlindungan dan juga penjagaan kanak-kanak yang mampu milik juga amat penting bagi kesejahteraan dan kestabilan pemandiri dalam jangka masa panjang.
Jawatankuasa yang dicadangkan untuk mengetuai pemantauan dan penilaian ke atas peruntukan RM21 juta ini turut akan menilai bidang-bidang lain dalam keperluan pemandiri dan memberikan saranan kepada kerajaan untuk kitaran belanjawan pada masa hadapan.
-
Membangunkan pelan tindakan terancang keganasan rumahtangga melalui Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keganasan Rumahtangga
Akhir sekali, peruntukan belanjawan RM21 juta haruslah menjadi sebahagian daripada pendekatan komprehensif dan bersasar untuk mendepani isu keganasan rumahtangga. Pelan tindakan yang terancang boleh diwujudkan dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keganasan Rumahtangga.
Ini akan membantu dalam pemantauan dan penilaian peruntukan RM21 juta dengan memberi kefahaman mengenai keperluan pemandiri keganasan rumahtangga di pelbagai peringkat, dan memastikan keperluan ini dipenuhi dengan sewajarnya melalui peruntukan persekutuan dan negeri. Bukan hanya melalui peruntukan khusus bagi rumah-rumah perlindungan dan perkhidmatan bantuan krisis yang lain, tetapi juga melalui peruntukan kepada polis, pegawai kebajikan, hospital, dan pihak-pihak lain yang memainkan peranan kritikal dalam respon kepada keganasan rumahtangga.
###
Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.
Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Natasha Dandavati, Head of Campaigns
natasha@wao.org.my
Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer
rusnitajari@wao.org.my/ 60133802287
This Post Has 0 Comments