Skip to content

Hari Wanita Kebangsaan 2020: Empat Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Kerajaan Untuk Menjadikan Malaysia Sebuah Negara Yang Lebih Baik Untuk Wanita

Pada Hari Wanita Kebangsaan 2020 ini, negara kita kini sedang berada di persimpangan yang kritikal. Pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi ketaksaksamaan gender yang sedia wujud dan mengancam untuk melunturkan kemajuan yang telah dibuat ke arah penghapusan keganasan berasaskan gender dan diskriminasi.

Walaubagaimanapun, pandemik yang berlaku dan juga PKP juga telah memberi tanda bahawa kita bukan sahaja semakin pulih, malah melalui tindakan pantas dan tegas, kita akan berjaya mengatasi krisis ini dan akan menjadi lebih saksama dan lebih kuat dari segi ekonomi.

Kami menggesa kerajaan untuk melakukan empat perkara ini:

  • Luluskan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Gangguan seksual boleh mempengaruhi pemerkasaan ekonomi wanita dalam pelbagai sudut. Daripada memberi kesan kepada status pekerjaan atau pemilihan atau kenaikan pangkat mereka, kepada merencatkan pendidikan, sepertimana gangguan seksual yang dialami di dalam konteks universiti; serta membuatkan mereka menjauhkan diri daripada sebarang penglibatan aktiviti yang boleh menjana pendapatan secara atas talian akibat daripada keganasan siber.

Kesan gangguan seksual bukan hanya terhad kepada insiden yang khusus atau sebarang bentuk gangguan, akan tetapi turut merangkumi setiap aspek dalam kehidupan mangsa.

Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen lewat tahun ini merupakan satu langkah kritikal ke arah menangani gangguan seksual yang berlaku dalam mana-mana konteks, lantas memastikan mangsa mendapat akses perlindungan, dan menggalakkan majikan untuk mengambil pendirian yang proaktif dalam mencegah gangguan seksual  serta memerangi normalisasinya dalam masyarakat.

 

  • Menjenayahkan Menghendap di dalam Kanun Keseksaan

Menghendap bukanlah satu jenayah di Malaysia, bermakna sekiranya seseorang berulang kali menghubungi, mengekori, atau muncul di tempat kerja anda secara kerap, (tindakan yang menjadi kebiasaan penghendap) tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa.

Pengkaji di Universiti Toronto telah mendapati bahawa menghendap boleh membawa kepada gangguan mental kepada mangsa, termasuklah kegelisahan, tekanan, dan simptom gangguan tekanan selepas trauma. Menghendap juga boleh membawa kepada tahap kaganasan yang lebih teruk. Di Kanada dan Amerika Syarikat, 90 peratus wanita telah dibunuh oleh pasangan yang pernah menghendap mereka.

Undang-undang anti-menghendap akan melindungi wanita daripada gangguan di atas talian dan fizikal, termasuklah pelbagai bentuk keganasan siber berasaskan gender seperti gangguan, intipan, dan “doxing” yang akhirnya akan membolehkan perintah perlindungan dikeluarkan untuk mangsa.

 

  • Pinda Akta Kerja, masukkan 7 hari cuti paterniti dan perlindungan diskriminasi ke atas pencari kerja

Pindaan ke atas Akta Kerja yang telah diberikan perhatian oleh Kementerian Sumber Manusia untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun ini termasuklah pengenalan tiga hari cuti paterniti, melanjutkan cuti bersalin berbayar kepada 90 hari, membolehkan permohonan waktu bekerja fleksibel, dan juga pengenalan kepada perlindungan anti-diskriminasi atas dasar gender, bangsa, dan agama ke atas pekerja.

WAO telah menggesa kerajaan untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti berbayar kepada bapa yang bekerja di sektor swasta kerana tiga hari adalah tidak mencukupi. Cuti paterniti berbayar selama tujuh hari akan memberi mesej bahawa penjagaan anak adalah tanggungjawab bersama, lantas membolehkan bapa memainkan peranan yang aktif apabila bayi dilahirkan. Ini juga didapati boleh mengurangkan jurang gaji antara gender di dalam sesebuah isi rumah.

Tambahan lagi, peruntukan anti-diskriminasi yang telah dicadangkan haruslah merangkumi pencari pekerjaan. Setelah pandemik COVID-19 berlaku, wanita semakin terbeban dengan bebanan penjagaan tidak berbayar dan terpaksa untuk mengimbangi tanggungjawab peribadi dan profesional. Tanpa perlindungan kepada pencari pekerjaan terhadap diskriminasi berasaskan gender dan kehamilan, ramai wanita yang sedang mencari pekerjaan akan dikesampingkan daripada pasaran kerja.

 

  • Bentangkan Belanjawan 2021 yang inklusif

Belanjawan 2021 yang inklusif yang merangkumi peruntukan sumber yang mencukupi untuk wanita adalah kritikal dalam membina dan memperkukuh penyertaan ekonomi oleh wanita serta pertumbuhan ekonomi.

Belanjawan 2021 yang inklusif akan membantu dalam memperbaiki kelunturan kesaksamaan gender yang diakibatkan oleh pandemik di Malaysia dengan menangani kemerosotan wanita dalam tiga bidang utama: maklumbalas keganasan berasaskan gender, pekerjaan wanita, dan kesihatan wanita.

Antara tiga peruntukan yang perlu untuk dimasukkan di dalam Belanjawan 2021 adalah peruntukan yang lebih besar bagi rumah perlindungan krisis terutamanya yang didiami oleh mangsa keganasan berasaskan gender,meningkatkan pelaburan awam dalam sektor penjagaan – seperti melalui subsidi kepada penyedia penjagaan kanak-kanak – dan memastikan adanya peruntukan yang mencukupi bagi latihan khusus dan Pusat Sehenti Krisis yang berfungsi sepenuhnya secara berterusan di dalam negara.

Sekarang adalah masanya untukmengambil tindakan yang tegas ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk wanita lantas menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk semua.

 

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

 

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Yap Lay Sheng, Senior Research and Advocacy Officer

laysheng@wao.org.my

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top