Skip to content

Undang-undang Anti-Menghendap Kini Beroperasi

Kenyataan Media – Untuk Penerbitan Segera

Kuala Lumpur, 14 Jun 2023

Undang-undang Anti-Menghendap Kini Beroperasi

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan suka citanya ingin mengumumkan bahawa rang undang-undang (RUU) yang menjadikan aktiviti menghendap (stalking) sebagai satu jenayah akhirnya beroperasi.

Peruntukan anti-menghendap dan perintah perlindungan telah mula berkuatkuasa pada 31 Mei 2023. Ini telah disahkan melalui notis daripada Jabatan Peguam Negara.

Seksyen baharu 507A mendefinisikan menghendap sebagai satu kelakuan berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu.

Jika seseorang berulang kali mengekori; berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara; berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja anda dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada anda dalam sebarang cara dan membuatkan anda tertekan atau takut – anda mungkin salah seorang mangsa/pemandiri menghendap.

Kini, anda boleh mendapatkan pertolongan daripada pihak polis jika dihendap.

Anda juga boleh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap.

Menurut pindaan RUU Kanun Keseksaan dan RUU Kanun Tatacara Jenayah, individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

WAO sekali lagi ingin memuji tindakan menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah di mana ia akan membantu menjamin keselamatan ribuan orang di Malaysia yang pernah dihendap dan hidup dalam ketakutan.

Untuk memastikan warga Malaysia mampu mendapatkan perlindungan tersebut, WAO ingin mengusulkan langkah-langkah berikut untuk diambil dengan segera:

  1. Kerajaan harus mengemas kini garis panduan dan SOP yang berkaitan untuk menggambarkan menghendap sebagai satu jenayah, dan menyediakan latihan dan sumber yang mencukupi kepada semua agensi yang berkaitan. Ini termasuk pegawai polis, pegawai kebajikan masyarakat, pendakwa raya, badan
    kehakiman dan barisan hadapan yang lain.
  2. Kerajaan harus menjalankan kempen publisiti di seluruh negara untuk memastikan mangsa/pemandiri mengetahui hak mereka, dan semua rakyat Malaysia dididik tentang implikasi melakukan jenayah menghendap.
  3. Melatih dan berkongsi sumber dengan NGO yang berkaitan dan pemberi perkhidmatan lain supaya mereka disediakan dengan maklumat/latihan yang mencukupi mengenai undang-undang anti menghendap, dan supaya NGO ini lebih bersedia untuk menyokong mangsa/pemandiri menghendap.

Untuk matlumat lanjut, boleh hubungi WAO melalui Hotline 03 3000 8858 atau SMS/WhatsApp TINA at +6018 988 8058.

Jika anda dihendap dan risau akan keselamatan anda, sila hubungi polis di talian 999 atau kunjungi balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

Back To Top