Skip to content

WAO Mengecam Ugutan Terhadap Pengerusi BERSIH 2.0

Women’s Aid Organisation (WAO) menyokong Bersih 2.0 dan tuntutannya untuk demokrasi yang adil dan saksama di Malaysia sepenuhnya. Kami merupakan salah satu daripada 62 NGO yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 untuk menuntut pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Sebuah sistem kerajaan yang adil dan saksama yang diiringi dengan proses pilihanraya yang adil dan saksama adalah penting untuk Malaysia. Setiap pengundi berhak untuk mengetahui bahawa undi mereka telah diambilkira dan keputusan pilihanraya yang keluar mencerminkan pilihan sebenar rakyat.

Bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihanraya, lapan tuntutan yang dikeluarkan oleh Bersih 2.0 haruslah dipenuhi. Dan lapan tuntutan itu adalah seperti berikut; membersihkan daftar pengundi, membuat pembaharuan bagi undian secara pos, menggunakan dakwat yang tidak dapat dipadamkan, menetapkan  tempoh minimum 21 hari untuk berkempen, memastikan akses yang bebas dan adil untuk media, menguatkan institusi-institusi awam, menghapuskan rasuah dan menamatkan politik kotor.

Serangan terbaru terhadap Bersih 2.0 termasuklah serangan-serangan peribadi dan ugutan-ugutan terhadap Pengerusinya, Ambiga Sreenevasan, haruslah dikecam.

Sebagai seorang pembela hak asasi manusia dan seorang wanita yang telah mencapai banyak kejayaan dalam kerjayanya, termasuk menjadi salah seorang  perintis WAO dan menjadi Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi kepada keadilan sosial.

Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kesedaran masyarakat yang tinggi, Ambiga sepatutnya dipuji diatas kesungguhannya yang tidak  pernah berkesudahan dan yang tidak didorong oleh keuntungan peribadi, sebaliknya didorong untuk kebaikan Malaysia dan juga sistem pengundiannya.

Setiap individu yang menganggap Malaysia sebagai rumahnya tidak akan mempertikaikan kepentingan sebuah pilihanraya yang bersih, bebas dan adil di Negara ini.

Dan setiap pilihanraya yang bebas dan adil haruslah disusuli dengan akses yang bebas dan maklumat yang tidak berat sebelah dari media, supaya setiap pengundi di  Malaysia boleh membuat pilihan yang tepat di kotak undi.

Laporan media yang berat sebelah amatlah menghina kepandaian rakyat Malaysia, yang sewajarnya harus diberi peluang untuk menentukan  kebaikan dan kemampuan setiap calon berdasarkan polisi-polisi mereka.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu rangka undang-undang negara kita telah memperuntukan hak kepada setiap rakyat negara ini dengan kebebasan untuk bercakap dan juga kebebasan untuk berkumpul secara aman.

WAO akan melaksanakan hak perlembagaan ini dengan berjalan bersama  Bersih 2.0 pada 9 Julai dan kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk datang dan menyokong panggilan untuk demokrasi yang lebih adil dan saksama untuk Malaysia.

Comments (0)

Leave a Reply

Back To Top