Skip to content

Hasil tinjauan mendapati majoriti rakyat Malaysia lebih memilih polisi yang menyokong kesaksamaan gender di tempat kerja sepertimana cadangan pindaan Akta Kerja yang telah dijadualkan

Kajian terkini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih memilih polisi yang menyokong kesaksamaan gender di tempat kerja. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Vase.ai dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Undi18, dan Architects of Diversity, telah menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara untuk meningkatkan bilangan cuti bersalin berbayar dan cuti paterniti, polisi untuk mewujudkan persekitaran kerja yang saksama untuk wanita, dan polisi yang menggalakkan ibu bapa untuk berkongsi tanggungjawab dalam penjagaan anak-anak dan kerja-kerja rumah.  

Parlimen perlu mengambil tindakan pantas dalam sesi persidangan seterusnya untuk membentangkan dan meluluskan cadangan pindaan ke atas Akta Kerja, yang akan menguatkuasakan polisi-polisi yang didapati mendapat sokongan daripada majoriti masyarakat.

 1. Cuti paterniti berbayar untuk para bapa

70% rakyat Malaysia percaya bahawa cuti paterniti berbayar untuk para bapa harus ditingkatkan. Cadangan pindaan ke atas Akta Kerja akan memperkenalkan tiga hari cuti paterniti bagi sektor swasta, yang mana ketika ini masih tidak diperuntukkan cuti paterniti. WAO ingin terus menggesa untuk minimum cuti paterniti selama tujuh hari diperuntukkan.

 2. Meningkatkan bilangan cuti bersalain untuk para ibu

75% rakyat Malaysia bersetuju bahawa bilangan cuti bersalin bagi para ibu harus ditingkatkan. Pada ketika ini, Akta Kerja memperuntukkan 60 hari cuti bersalin berbayar bagi sektor swasta. Cadangan pindaan akan meningkatkan cuti bersalin kepada 90 hari, selaras dengan saranan piawaian minimum Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

 3. Perlindungan daripada diskriminasi gender dan kehamilan

Hasil tinjauan yang baru dijalankan mendapati majoriti rakyat Malaysia lebih memilih untuk menyokong polisi yang akan menghapuskan diskriminasi gender dan mewujudkan kesaksamaan gender di tempat kerja.

91% rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal bagi mewujudkan persekitaran yang saksama untuk wanita, seperti bilik menyusukan bayi untuk para ibu yang baru. Tambahan lagi, 84% rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal untuk para wanita diberikan peluang pekerjaan yang sama seperti lelaki, sementara 83% rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi diperlukan bagi memastikan wanita dibayar dengan bayaran yang sama seperti lelaki untuk pekerjaan yang sama.

Cadangan pindaan ke atas Akta Kerja turut merangkumi larangan diskriminasi gender ke atas pekerja, yang bermakna majikan tidak lagi boleh untuk mendiskriminasikan wanita di tempat kerja. Contohnya seperti menyekat peluang kerjaya, atau menghalang wanita daripada pernyertaan yang sama rata di tempat kerja akibat daripada kegagalan untuk menyediakan kemudahan. Peruntukan-peruntukan ini turut merangkumi perlindungan daripada pemberhentian kerja ke atas wanita yang hamil.

Oleh kerana ini adalah langkah-langkah yang kritikal, perlindungan-perlindungan ini juga perlu dipanjangkan kepada pencari kerja kerana kebanyakan wanita kerap kali mengalami diskriminasi pada fasa temuduga atas dasar gender atau status kehamilan.

4. Waktu bekerja yang fleksibel

86% rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi perlu digubal bagi menggalakkan para ibu dan bapa untuk berkongsi tanggungjawab penjagaan dan kerja rumah yang sama. Perkongsian tanggungjawab yang saksama boleh diwujudkan dengan adanya waktu bekerja yang fleksibel bagi kedua-dua ibu bapa yang boleh dipohon, yang mana telah dinyatakan di dalam cadangan pindaan.

5. Perlindungan ke atas gangguan seksual

89% rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak polisi diperlukan bagi memastikan wanita tidak dijadikan sasaran gangguan seksual dalam apa jua konteks, termasuklah di tempat kerja. Sementara pindaan ke atas Akta Kerja yang dijadualkan akan merangkumi perlindungan ke atas gangguan seksual di tempat kerja, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang juga dijadualkan untuk dibentangkan di sesi Parlimen turut bertujuan untuk menangani gangguan seksual di dalam kesemua konteks, daripada di universiti hinggalah di tempat awam.

Dengan membentangkan dan meluluskan cadangan pindaan ke atas Akta Kerja pada bulan November, Parlimen akan berpeluang untuk melaksanakan polisi yang disokong oleh kebanyakan rakyat Malaysia dalam merapatkan jurang gender dalam pekerjaan.

Sampel akhir adalah seramai 1,027 respon. Responden berumur 18 tahun dan ke atas diambil sebagai sampel quota mengikut statistik banci mengikut kaum, jantina, umur dan wilayah tempat tinggal.

Keputusan penuh tinjauan boleh dirujuk di: https://vase.ai/resources/malaysia-temperature-check.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Head of Campaigns

natasha@wao.org.my

Yap Lay Sheng, Senior Research and Advocacy Officer

laysheng@wao.org.my / 60182747042

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top