skip to Main Content

WAO merintis kerjasama antara agensi kerajaan dalam mewujudkan Komuniti Selamat

WAO Merintis Kerjasama Antara Agensi Kerajaan Dalam Mewujudkan Komuniti Selamat

Wakil-wakil agensi kerajaan peringkat negeri Selangor daripada sektor kesihatan, keadilan jenayah, hak asasi kanak-kanak dan wanita, dan kebajikan telah bersama-sama berkumpul pada hari ini untuk melancarkan Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu, yang telah dicetuskan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan sokongan UNFPA Malaysia.

Inisiatif ini bermatlamat untuk menggalakkan kerjasama dalam menyampaikan perkhidmatan yang bersepadu dan melibatkan pelbagai pihak dalam pendekatan ke arah membina komuniti selamat yang bebas daripada keganasan berasaskan gender.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga dan turut dihadiri oleh pelbagai wakil NGO.

Model Komuniti Selamat

Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu ini diasaskan oleh WAO berdasarkan model “komuniti selamat”, iaitu pendekatan yang holistik dan melibatkan pelbagai sektor dalam penglibatan komuniti dan pencegahan keganasan berasaskan gender. Model komuniti selamat bermatlamat untuk membantu komuniti mempelajari apa itu keganasan rumahtangga, mengenalpasti apakah puncanya dan bagaimanakah ia boleh mempengaruhi komuniti, serta untuk memahami betapa kritikalnya isu ini kepada ahli komuniti untuk mengambil tanggungjawab yang lebih daripada hanya sekadar pemerhati.

Paksi kepada pendekatan pelbagai sektor ini adalah sistem penjagaan kesihatan, dengan komuniti yang mempunyai kebergantungan signifikan kepada hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan untuk mendapatkan bantuan akibat daripada keganasan. Pada ketika keperluan ini sedang memuncak, sistem kesihatan yang lebih kukuh telah diletakkan di gariasan bawah lantas mewujudkan kesukaran kepada golongan yang berisiko seperti wanita. Keadaan ini amat kritikal disebabkan sumber bagi kesihatan awam telah dialihkan untuk melawan pandemik, lantas mengurangkan sokongan kepada penjagaan kesihatan bagi komuniti yang berisiko.

WAO berperanan sebagai titik rujukan utama negara dalam kes keganasan rumahtangga dan bertindak sebagai pemudahcara kepada kerjasama agensi-agensi kerajaan, dengan tujuan untuk mewujudkan pendekatan paling sesuai dalam menyebarluaskan SOP kerajaan yang sedia ada, terutamanya Garis Panduan Keganasan Rumah Tangga oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM), dan Pusat Sehenti Krisis (OSCC) dan sistem Suspected Child Abuse and Neglect (SCAN) oleh Kementerian Kesihatan. WAO ingin mengorak langkah ke hadapan dalam pendekatan ini di Selangor dengan sokongan United Nations Population Funds (UNFPA) Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor.

Kemajuan Inisiatif Komuniti Selamat

Perasmian hari ini merupakan sambungan kepada program Komuniti Selamat Bersepadu yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2019 bersama-sama dengan WAO, di mana ianya memberi fokus kepada bengkel Komuniti Selamat di lima daerah di Selangor bersama-sama wanita-wanita tempatan, termasuklah ketua komuniti dan NGO untuk mengenalpasti, memberi respon dan merujuk kes-kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di peringkat akar umbi.

Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu telah dijana oleh kerjasama erat antara sektor yang telah pun diperlihatkan di Selangor dengan kewujudan pasukan petugas kerajaan negeri oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud. Pasukan petugas ini diketuai oleh penasihat eksekutif negeri bagi wanita dan kesihatan, dengan kerjasama kumpulan-kumpulan masyarakat, yang bertujuan untuk menangani isu-isu yang berbangkit ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuklah isu-isu keganasan rumahtangga dan kesihatan mental.

Dengan peningkatan mendadak dalam kes keganasan rumahtangga sejak PKP bermula dengan jumlah pertanyaan melalui hotline WAO meningkat 3.4 kali ganda pada awal PKP dan lebih separuh pertanyaan adalah dari Lembah Klang, intervensi pasukan petugas kerajaan negeri Selangor  kepada golongan wanita dan kanak-kanak yang berisiko amat bertepatan dengan waktunya.

Pelancaran Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu

Pelancaran Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu pada hari ini digerakkan oleh hubungan kerja yang erat hasil dari kerjasama antara petugas-petugas kerajaan negeri Selangor.

Matlamat Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu adalah untuk membawa suara dan keperluan yang telah dikenalpasti ketika bengkel Komuniti Selamat kehadapan bagi menambahbaik respon kepada keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Salah satu cara dalam mencapai perkara ini adalah dengan membolehkan SOP kerajaan yang sedia ada mudah diakses oleh kesemua pihak berkepentingan yang relevan dengan menjadikan bahan maklumat tersebut mudah dimuat turun bagi meningkatkan penggunaan dan kefahamannya.

WAO berharap kerjasama antara agensi kerajaan ini akan mewujudkan sistem yang bersepadu, berfokuskan pemandiri, mudah diakses oleh orang ramai dengan penggunaan bahan visual yang mudah diingat yang menggabungkan rangkaian kerajaan dan pakar dalam penyelesaian berasaskan komuniti dan perspektif. Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu akan dimulakan di Kajang sebagai permulaan dalam perkongsian amalan terbaik, dengan matlamat untuk menyebarluaskan inisiatif ini di semua kawasan di Selangor.

Fokus pelancaran pada hari ini diletakkan kepada bagaimanakah inisiatif ini boleh dinaiktaraf dengan pengaplikasian holistik melalui kesemua pihak berkepentingan kerajaan – selaras dengan penglibatan komuniti dan usaha-usaha untuk mencegah keganasan rumahtangga – berdasarkan pengalaman sebenar mangsa keganasan berasaskan gender di Selangor.

Seperti yang telah dibincangkan oleh para pemegang taruh pada pelancaran hari ini, projek ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama dengan kesemua peringkat komuniti di Selangor bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk mencegah dan memberi respon kepada keganasan rumahtangga; mengetahui bagaimana dan di mana untuk merujuk mangsa, keluarga, rakan-rakan, dan pendera untuk tindakan pantas dan bantuan sokongan; serta menyokong ruang komunti selamat dan rumah perlindungan. Ini akan dilakukan melalui infografik Komuniti Selamat yang telah dinilai dan dibincangkan oleh pelbagai agensi yang hadir, untuk tujuan penjelasan mesej Komuniti Selamat kepada orang awam. Mesej yang jelas akan membina amalan yang terbaik dan memberikan akses hak asasi kepada mangsa melalui rangkaian kerajaan sebagai satu kebiasaan antara lainnya.

WAO memuji tindakan progresif YB Dr Siti Mariah Mahmud dan komitmen beliau untuk memastikan komuniti tempatan sentiasa selamat melalui kerjasama antara agensi kerajaan, NGO tempatan, dan rakan-rakan kerja yang lain daripada seluruh peringkat komuniti di Selangor.

Dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensi utama kerajaan, WAO berharap untuk melihat negeri Selangor yang lebih selamat kesan daripada kerjasama erat komuniti dan rangkaian respon  rujukan yang pantas kepada pemberi perkhidmatan dan pemberi respon pertama dalam sistem kesihatan dan keadilan jenayah. Ini termasuklah akses yang lebih baik kepada keadilan dan perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan.

WAO komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan agensi-agensi utama kerajaan dalam melaksanakan, memberi panduan, dan memantau kemajuan Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu, demi kebaikan rakyat Selangor.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Ibnu Mohamed, Pegawai Kanan Komunikasi Korporat

ibnumohamed@wao.org.my / 60132403237

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top