Skip to content

JAG: Hentikan keganasan dan diskriminasi ke atas ahli politik wanita

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) kecewa dan berdukacita dengan serangan ke atas YB Nurul Izzah di media sosial baru-baru ini. Tanpa mengira mana-mana parti politik sekalipun, setiap wakil rakyat kerajaan harus mengecam sebarang taktik kotor seperti seksualisasi, mengobjektifikasi, dan gangguan terhadap ahli politik wanita sebagai cara untuk menyerang pendapat yang berbeza atau untuk mendapatkan sokongan politik.

Berikutan daripada serangan yang telah dilakukan, JAG juga menyeru agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan yang lebih proaktif bagi mengelakkan dan menangani keganasan berasaskan gender atas talian (GBV), termasuklah kepada ahli politik wanita.

GBV atas talian, seperti serangan di media sosial yang ditujukan kepada YB Nurul, memberi impak secara langsung terhadap kebolehan wanita untuk melibatkan diri dalam semua bidang kehidupan, daripada bidang profesional, kepada pendidikan, hinggalah sosial. Apabila serangan ditujukan kepada ahli politik wanita, GBV atas talian juga memberi kesan  terhadap kebolehan wanita untuk melibatkan diri di ruang awam  mahupun politik, lantas akan merencatkan kemajuan Malaysia dalam mencapai kesaksamaan gender secara umumnya.

 

Serangan ke atas YB Nurul Izzah bukan hanya mengancam penglibatan politik wanita, malah ianya turut mengancam demokrasi

Serangan di Facebook YB Nurul baru-baru ini amat bersifat keji dan peribadi. Bukan sahaja ianya mengandungi kandungan yang menjadikan YB Nurul sebagai objek seks, malah ianya juga bersifat menghasut dan merupakan ancaman keganasan ke atas beliau dengan mendedahkan maklumat peribadinya.

Serangan ke atas ahli politik wanita yang mengobjektifikasi dan berunsur seksual berpunca daripada struktur dan tabiat patriarki yang menjadi barah dalam kemasyarakatan. Serangan tersebut melambangkan kurangnya keinginan politik yang serius dalam memastikan kemajuan negara ke arah institusi dan struktur kesaksamaan gender, yang akhirnya akan mengagihkan kuasa yang secara tradisionalnya hanya terletak pada tangan lelaki. Serangan seperti keganasan fizikal, ancaman/gangguan seksual, atau komen sensitif mengenai cara pemakaian seorang wanita amat berbahaya dan selalunya dirancang, dengan niat untuk mengekalkan kuasa dan tidak menggalakkan wanita untuk terus terlibat di ruang awam, berkongsi mengenai  realiti kehidupan mereka, dan memberi pengaruh ke atas setiap keputusan yang akan menentukan hala tuju negara sama ada di peringkat kampung, bandar, negeri atau di peringkat persekutuan.

Serangan-serangan yang ditujukan kepada YB Nurul dan ahli politik wanita yang lain secara umumnya akan menghalang wanita daripada menyertai atau terus kekal di ruang awam dan juga dunia politik. Ia juga boleh mengancam demokrasi. Seperti yang telah dilaporkan oleh Dubravka Simonovic, Pelapor Khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai keganasan ke atas wanita, “Penularan sistemik keganasan berasaskan gender ke atas wanita berpunca daripada diskriminasi yang berterusan ke atas wanita  seterusnya membentuk laluan hidup ahli-ahli politik wanita, aktivis, dan pengundi di serata dunia. Impaknya bukan sahaja ke atas mangsa, malah kepada demokrasi juga.”

Keganasan dan diskriminasi berasaskan gender – baik terhadap ahli politik wanita dan wanita yang mempraktikkan hak mereka di ruang awam dan juga politik – adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi iaitu kebebasan bersuara, partisipasi, dan pilihan, kerana ini akan menyekat kebebasan wanita yang mana wanita merupakan separuh dari populasi rakyat.

 

Persekitaran politik di Malaysia berterusan menjadi berbahaya kepada wanita

Malangnya, serangan ke atas ahli politik wanita dan juga kaum wanita yang kritikal terhadap isu-isu politik di Malaysia bukanlah satu perkara baru.

Bermula dengan stereotaip ke atas calon politik wanita, komen seksis di Parlimen ke atas wakil rakyat wanita, hinggalah ancaman yang dilakukan melalui Facebook dan juga platform lain ke atas wanita yang mempunyai pendapat kritikal mengenai politik,  persekitaran politik di Malaysia sentiasa dan berterusan menjadi persekitaran yang berbahaya buat wanita.

Kedua-dua sebab utama iaitu persekitaran yang berbahaya kepada wanita serta diskriminasi sistemik yang lebih menyedihkan ini menghalang wanita daripada melibatkan diri dalam dunia politik. Diskriminasi kejam ini dapat dilihat dalam bentuk yang pelbagai seperti bagaimana wanita digambarkan melalui media dan juga peranan gender yang diletakkan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan sejak usia muda sama ada di sekolah ataupun di rumah.

Keadaan ini membentuk persepsi wanita mengenai wanita yang berkebolehan menjadi pemimpin, kepada corak pengundian, dan ianya jelas tergambar: semakin kurang penglibatan wanita secara di ruang awam, semakin berbahaya persekitaran kepada mereka, dan semakin kurang wanita dan kanak-kanak perempuan yang akan melihat partisipasi politik sebagai ruang untuk mengubah sistem.

 

Malaysia telah gagal untuk menyahut saranan Jawatankuasa CEDAW untuk menangani keganasan dan diskriminasi ke atas wanita dalam arena politik

Dalam pemerhatian ke atas Malaysia pada tahun 2018, Jawatankuasa CEDAW menyuarakan kebimbangan mereka kepada kerajaan mengenai kurangnya penyertaan wanitadalam politik dan juga di ruang awam.

Dalam Pemerhatian Rumus pada Mac 2018, Jawatankuasa CEDAW menyarankan kepada Malaysia untuk mengambil langkah-langkah tertentu termasuklah langkah-langkah khas sementarabagi “mempercepatkan penyertaan dan penglibatan yang saksama di semua peringkat termasuklah dalam perundangan, jawatan menteri dan kerajaan tempatan, kehakiman dan juga perkhidmatan diplomatik.”

Jawatankuasa itu juga menyarankan kepada kerajaan supaya wakil rakyat yang mengeluarkan pendapat yang seksis dan merendahkan martabat wanita dipertanggungjawabkan, dan menjalankan strategi komprehensif yang bertujuan untuk menghapuskan stereotaip yang mendiskriminasi dan tabiat patriarki dalam peranan dan tanggungjawab wanita di setiap lapisan masyarakat.

Setiap jabatan dan juga agensi kerajaan termasuklah SKMM haruslah mengambil langkah tegas dalam memerangi keganasan dan diskriminasi ke atas ahli politik wanita dan kesemua kaum wanita, sama ada serangan dalam bentuk percakapan, serangan di media sosial, atau tindakan dan ancaman mengenai keganasan fizikal.

Tanpa tindakan yang tegas dan pantas ke atas pelaku yang melakukan serangan di media sosial dan tindakan keganasan yang lain ke atas YB Nurul, bukan sahaja akan menyebabkan wanita disingkirkan daripada dunia politik dan ruang awam, malah hak mereka untuk melibatkan diri dalam politik dan ruang awam juga akan dicabuli, dan akhirnya akan menyebabkan prinsip demokrasi yang dicipta untuk menjaga kepentingan dan keperluan semua akan terhakis.

Kita harus bertindak untuk menghentikan GBV secara atas talian yang merendahkan dan tidak menggalakkan penglibatan wanita  dalam politik dan ruang awam. Serangan ke atas ahli politik wanita dan suara wanita adalah serangan ke atas demokrasi.

 

###

 

Disokong oleh organisasi JAG di bawah:

  1. All Women’s Action Society (AWAM)
  2. Association of Women Lawyers (AWL)
  3. Justice for Sisters
  4. KRYSS Network
  5. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  6. Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)
  7. Sisters in Islam (SIS)
  8. Tenaganita
  9. Women’s Aid Organisation (WAO)
  10. Women’s Centre for Change (WCC)

 

Mengenai Joint Action Group for Gender Equality (JAG)

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) merupakan satu pakatan antara 14 pertubuhan hak asasi wanita di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Sejak 1985, kami telah berjuang untuk kesaksamaan gender dan keadilan sosial di Malaysia dalam rangka kerja feminis. Kami memanfaatkan pelbagai kepakaran dan menyuarakan suara wanita bagi meningkatkan kesedaran awam dan berjuang untuk perubahan undang-undang. Kami mengangkat standard hak asasi manusia antarabangsa dalam menggalakkan keadilan, kesaksamaan, dan anti-diskriminasi.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Ketua Kempen (Interim)

natasha@wao.org.my

 

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top