Skip to content

Jangan tambahkan rintangan untuk Deepa

 Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Kenyataan Akhbar, 24 Jun 2014

Photo courtesy of Goh Siu Lin

Sejauh mana seorang ibu harus pergi untuk bersama-sama dengan anaknya? Untuk Deepa, dan wanita-wanita lain sepertinya, jauh nampaknya. Hari ini, pihak kerajaan mahu Deepa pergi lebih jauh lagi.

Sistem negara ini telahpun membiarkan ketidakadilan menimpa Deepa. Bekas suaminya dibenarkan menukar agama dua anak-anak mereka dari Hindu ke Islam, walaupun dilakukan tanpa pengetahuan Deepa. Mahkamah Syariah memberikan hak jagaan anak-anak kepada suami, walaupun tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Deepa, dan tidak pun mendengar ulasan daripada Deepa.

Deepa telah membuat lebih 25 laporan polis berkenaan keganasan rumah tangga, namun hakikat ini nampaknya tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya.

Deepa meletakkan kepercayaannya dalam sistem mahkamah untuk mendapatkan keadilan. Setelah Mahkamah sivil – sistem dimana Deepa dan bekas suaminya berkahwin – mendengar ulasan oleh kedua-dua pihak, mahkamah itu memutuskan untuk memberikan hak penjagaan kepada Deepa dan hak lawatan kepada bekas suami.

Dua hari selepas itu, bekas suami telah menculik anak lelaki mereka yang berumur enam tahun daripada jagaan Deepa. Bekas suami juga memohon kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan supaya perintah jagaan digantung pelaksanaannya, tetapi telah ditolak. Kedua-dua mahkamah ini menegaskan bahawa Deepa mempunyai hak jagaan yang sah. Namun, pihak polis enggan menguatkuasakan perintah jagaan ini, kerana dikatakan bercanggah dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Deepa tetap berjuang, dan mendapatkan Perintah Pemulihan daripada Mahkamah Tinggi. Perintah ini mengarahkan pihak polis untuk mendapatkan anak lelaki kembali daripada bekas suami.

Akan tetapi, hari ini, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak menguatkuasakan perintah tersebut. Ketua Polis Negara dan Peguam Negara memohon untuk menjadi pencelah dalam prosiding mahkamah, dan untuk menggantung pelaksanaan Perintah Pemulihan ini.

Adakah melampau untuk mengharapkan seorang ibu diberikan hak samarata dengan seorang bapa dalam menentukan hal-hal berkaitan anak-anak? Adakah melampau untuk mengharapkan isu-isu berkaitan dengan satu perkahwinan diselesaikan mengikut sistem undang-undang yang dipersetujui semasa suami isteri berkahwin? Tidakkah kanak-kanak mempunyai hak dalam menentukan masa depan mereka sendiri?

Sekali lagi, WAO menyarankan supaya perintah-perintah Mahkamah Tinggi dikuatkuasakan bagi memastikan Deepa dapat bersama-sama dengan anak-anaknya, dan menyarankan undang-undang keluarga dipinda supaya penukaran agama anak-anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu dan bapa tidak dibenarkan, sepertimana yang dipersetujui oleh Kabinet pada tahun 2009.

Sistem kita sepatutnya membantu wanita seperti Deepa mendapatkan keadilan, bukannya menambahkan rintangan.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bantuan sosial kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, dan memperjuangkan hak asasi wanita. Hubungi kami di 03 7956 3488 ataupun SMS TINA di 018 988 8058 andainya anda ataupun sesiapa yang anda kenali menghadapi keganasan.

Untuk maklumat lanjut: Yu Ren Chung, Pegawai Advokasi, renchung.wao@gmail.com, 010 225 7971.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top