Skip to content

Kerajaan perlu bertindak untuk mengekang penghakisan kesaksamaan gender ketika darurat

Pengisytiharan darurat oleh kerajaan semalam adalah langkah serius yang akan memberikan implikasi pelbagai kepada hak asasi manusia dan demokrasi. Tambahan lagi, darurat mungkin akan memberikan kesan buruk kepada wanita dan memburukkan lagi keadaan kesaksamaan gender di Malaysia.

Semenjak bermulanya pandemik COVID-19, impak berasaskan gender telah dirasai dengan peningkatan keganasan berasaskan gender, akses perlindungan kritikal dan perkhidmatan sokongan yang terhalang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peningkatan beban penjagaan tidak berbayar, serta peningkatan tinggi wanita yang menarik diri dari tenaga kerja.

Dengan pengisytiharan darurat, penghakisan kesaksamaan gender mungkin akan berlaku sekiranya langkah-langkah ini tidak diambil.

Berikut adalah antara bidang-bidang yang dikhuatiri akan terkesan:

  • Respon kepada keganasan berasaskan gender Sebahagian daripada perubahan kuasa ketika darurat, kerajaan telah mengeluarkan ordinan pada hari ini yang memberi kuasa polis kepada anggota tentera. Oleh itu, terdapat kemungkinan anggota tentera akan berhadapan dengan pemandiri keganasan berasaskan gender ketika membantu pihak polis di ‘checkpoint’ atau di mana-mana sahaja. Apabila berhadapan dengan respon kepada keganasan berasaskan gender, anggota tentera tidak memiliki tahap latihan dan sensitiviti yang sama seperti anggota polis. Oleh itu, amat kritikal bagi anggota tentera mengamalkan SOP yang sama seperti anggota polis apabila memberi respon ke atas kes keganasan berasaskan gender supaya mereka mengetahui tanggungjawab mereka dan memberikan hak yang sewajarnya kepada pemandiri untuk mendapatkan perlindungan dan perkhidmatan sokongan ketika PKP. Tambahan lagi, dalam memastikan kesemua pemandiri tidak mengira kewarganegaraan dan status imigran untuk menerima perlindungan dan sokongan yang sewajarnya haruslah dititikberatkan oleh kerajaan.

  • Sumber bagi respon kepada keganasan berasaskan gender – Walaupun dengan pengisytiharan darurat dan sepanjang pelaksanaannya, ianya amat kritikal supaya sumber awam – termasuklah perkhidmatan untuk keganasan rumahtangga – diteruskan dan berfungsi sepertimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan, dan sumber tersebut tidak dialihkan daripada respon kepada keganasan berasaskan gender. Terutamanya ketika PKP dan tempoh PKP yang seterusnya, ketersediaan untuk membuat laporan polis, akses perintah perlindungan, dan rujukan kepada rumah perlindungan krisis oleh kerajaan amat kritikal bagi para pemandiri yang terperangkap di rumah bersama pendera. Walaupun kerajaan memberi fokus kepada pencegahan COVID-19, kes keganasan berasaskan gender tidak wajar untuk diabaikan, yang mana ianya juga adalah satu pandemik di dalam pandemik.

  • Perubahan undang-undang dan polisi untuk menangani keganasan berasaskan gender dan diskriminasi – Dengan pengisytiharan darurat dan penggantungan sidang parlimen dan dewan undangan negeri, kita berhadapan dengan realiti bahawa tiada undang-undang baru atau pindaan ke atas undang-undang berkaitan keganasan rumahtangga dan diskriminasi akan diluluskan. Ini termasuklah undang-undang anti-menghendap, Akta Gangguan Seksual, pindaan ke atas Akta Kerja yang mana akan menangani isu diskriminasi berasaskan gender. Tanpa sidang parlimen, perubahan perundangan ini tidak boleh diteruskan; walaubagaimanapun, kerajaan boleh berterusan dengan memberi komitmen kepada kesaksamaan gender melalui undang-undang dan polisi dengan meneruskan usaha memuktamadkan draf rang undang-undang dan pindaan – termasuklah melalui khidmat nasihat masyarakat awam – agar ianya boleh dibentangkan tanpa sebarang kelewatan ketika sidang parlimen yang seterusnya.

  • Impak ke atas kebebasan awam – Dengan pertambahan kuasa yang diberi kepada kerajaan ketika darurat dan juga kerentanan perlindungan perlembagaan ke atas penggantungan atau penggantian undang-undang darurat, ianya amat mustahak nagi kerajaan untuk tidak mengurangkan kebebasan awam lebih dari yang sepatutnya atau yang dibenarkan atas alasan kesihatan awam. Tanpa pilihanraya, sidang parlimen dan dewan undangan negeri, rakyat haruslah berterusan untuk dibenarkan bersuara mengenai kebimbangan dan pendapat kritikal mereka kepada kerajaan melalui apa jua cara tanpa larangan.

Akhir sekali, kerajaan haruslah memastikan bahawa tindakan-tindakan yang diambil ketika darurat turut mengambil kira lensa gender dan meminimakan sebarang impak yang tidak seimbang ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan – termasuklah kesan buruk keganasan berasaskan gender dan diskriminasi – dan tidak memandang rendah kehendak rakyat.

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Head of Campaigns
natasha@wao.org.my 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top