Skip to content

Lindungi Kanak-Kanak dari Perogol dan Pendera Seksual

Yang dituduh merogol: seorang pengurus restoran berusia 40 tahun, mangsanya: kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun. Berdasarkan laporan akhbar The Star dan Sabah Daily Express pada 8 May 2013, lelaki 40 tahun itu telah memohon agar pertuduhan rogol terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu ditarikbalik kerana dia ingin mengahwini kanak-kanak perempuan tersebut. Yang mengejutkan adalah Timbalan Pendakwa Raya bertugas tidak membantah permohonan tarikbalik tersebut, yang bergantung kepada kelulusan perkahwinan di Mahkamah Syariah.

Adakah begini caranya masyarakat kita menangani isu rogol bawah umur, dengan membiarkan tertuduh mengelak hukuman semata-mata dengan menjanjikan perkahwinan? Wajarkah ibu-bapa merelakan kanak-kanak berkahwin atas sebab kemiskinan, budaya ataupun tradisi? Sedangkan kita telahpun mempunya undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan yangdiwujudkan bagi melindungi kanak-kanak yang tidak berdaya. Kerajaan bertanggungjawab melindungi dan memastikan keadilan untuk mereka. Apabila mangsa kanak-kanak beragama Islam dirogol, adakah wajar dia dilayan berbeza dari seorang mangsa kanak-kanak yang bukan Islam?

Oktober yang lalu, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membuat kenyataan tegas tentang pindaan undang-undang jenayah bagi memastikan pesalah rogol bawah umur diwajibkan hukum penjara. Pindaan ini bertujuan menangani jumlah rogol yang semakin meningkat , dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Kerajaan perlu mengotakan kata-kata meraka bagi menghentikan perogol dan pendera seksual dari terus menyeleweng budaya dan agama bagi melepaskan diri dari dipenjara.

Bagi kes di Sabah, kebenaran berkahwin yang dilaporkan masih dibawah pertimbangan Mahkamah Syariah. Isunya di sini, adakah wajar Hakim Syarie membenarkan seorang lelaki 40 tahun yang telah dituduh merogol, berkahwin dengan mangsa kes? Kedua, bagaimana seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun boleh didapati “sesuai untuk berkahwin”? Kenapa ada perbezaan pada perlindungan yang sepatutnya terpakai kepada semua kanak-kanak di Malaysia, semata-mata kerana kanak-kanak tersebut beragama Islam?

Kajian-kajian jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak bawah umur yang terpaksa berkahwin mengalami risiko penderaan seksual dan keganasan rumahtangga yang lebih tinggi, selain berisiko tinggi meninggal dunia semasa melahirkan anak.

Undang-undang dan institusi-institusi gagal melindungi dan berlaku adil apabila perbuatan seks dengan kanak-kanak dibenarkan semata-mata berbekalkan sijil perkahwinan. Apakah kesannya pada masyarakat apabila pertuduhan jenayah rogol bawah umur boleh cuba diketepikan dengan berjanji untuk berkahwin? Adakah wajar kita mengharapkan tertuduh untuk melayan mangsa/isterinya dengan penuh hormat dan timbangrasa, sedangkan dia telah dituduh merogol kanak-kanak tersebut? Pihak Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah Syariah perlu menggunapakai pertimbangan dan budibicara sewajarnya untuk mengelakkan perbuatan hina ini dari berterusan, dan menghentikan penyalahgunaan sistem keadilan.
Joint Action Group for Gender Equality (JAG) menegaskan agar:

Hakim Syarie berkenaan menolak permohonan perkahwinan bagi kanak-kanak 13 tahun tersebut, berdasarkan ketidakupayaannya memberi kerelaan ataupun tahap mental kanakkanak menjadikannya tidak sesuai untuk berkahwin.

Pihak Pendakwa Raya mempertimbangkan semula amalan menarikbalik pertuduhan rogol hanya kerana pihak-pihak berkahwin, terutamanya apabila jelas wujud fakta rogol bawah umur, berdasarkan perbezaan umur dan ketidakseimbangan kuasa yang amat nyata di antara tertuduh dan mangsa.

Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) melarang sebarang bentuk perkahwinan dan pertunangan kanak-kanak. Memandangkan negara kita telah bersetuju untuk mengikuti prinsip CEDAW, kerajaan Malaysia perlu memastikan kesemua undang-undang tempatan sejajar dengan konvensyen antarabangsa ini.

Mangsa dan keluarga perlu diberikan perlindungan, kaunseling, sokongan dan bantuan segera dari pihak berwajib. Pelindung Kanak-kanak perlu menggunapakai sepenuhnya kuasa mereka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 untuk bertindak bagi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut.

Undang-undang dan amalan yang memudaratkan kanak-kanak perlu dicabar dan diperbaiki. Kita tidak boleh membiarkan sahaja penderaan seksual kanak-kanak berterusan. Semua kanak-kanak perlu dilindungi walau bagaimana cara sekalipun. Tanggungjawab dan amanah ini perlu kita laksanakan segera.

Joint Action Group for Gender Equality (JAG)

JAG terdiri daripada:
Women’s Centre for Change Penang (WCC)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
Women’s Aid Organisation (WAO)
Sisters in Islam (SIS)
All Women’s Action Society (AWAM)
Perak Women for Women (PWW)
Persatuan Sahabat Wanita (PSWS)

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top