Skip to content

Masyarakat sivil gesa kerajaan Malaysia lepaskan segera 269 pelarian Rohingya yang ditangkap dan ditahan, termasuk 49 orang kanak-kanak

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) dan Child Rights Coalition Malaysia (CRCM) berdukacita atas penangkapan dan penahanan 269 pencari suaka Rohingya, termasuk 49 orang kanak-kanak, yang tiba di Malaysia pada hari Isnin dengan sebuah bot. Kerajaan harus segera melepaskan individu-individu ini dan menghentikan tindakan menahan pelarian.

Sejak peringkat awal lagi, keengganan Malaysia untuk mengiktiraf pelarian dari segi undang-undang—yang ditakrifkan sebagai mereka yang melarikan diri daripada negara asal kerana tiada pilihan lain akibat penindasan dan pencabulan hak asasi manusia mereka, menjadikan mereka memerlukan perlindungan antarabangsa – adalah amat tidak berperikemanusiaan dan melanggar norma dan pemakaian undang-undang antarabangsa. Pelanggaran hak oleh Malaysia ini termasuklah hak untuk mendapat suaka seperti termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) dan prinsip ‘non-refoulement’.

Penangkapan dan penahanan 49 orang kanak-kanak telah melanggar kebiasaan undang-undang antarabangsa dan merupakan pencabulan langsung ke atas tanggungjawab negara di bawah Konvensyen PBB Mengenai Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi ke Atas Wanita (CEDAW), serta tanggungjawab kita ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 sendiri.

 

Keengganan untuk mengiktiraf pelarian dari segi undang-undang melanggar pemakaian undang-undang antarabangsa

Bukan sahaja terikat dengan konvensyen-konvensyen dan perjanjian-perjanjian yang telah diratifikasi, Malaysia, seperti juga negara-negara lain, tertakluk kepada norma pemakaian undang-undang antarabangsa, sama ada ianya diterapkan secara domestik atau tidak.

Kebanyakan pakar undang-undang berpendapat bahwa UDHR secara keseluruhannya—termasuk hak untuk mencari suaka—telahpun menjadi sebahagian dari resam pemakaian undang-undang antarabangsa. Tambahan pula, antara prinsip yang menjadi tunjang kepada pemakaian undang-undang antarabangsa adalah prinsip ‘non-refoulement’, yang melarang mana-mana negara daripada memaksa pelarian dan pencari suaka untuk kembali ke negara di mana mereka akan ditindas. Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa Rohingya tergolong dalam kategori individu-individu sebegini.

Pada bulan Januari 2020, Mahkamah Keadilan Antarabangsa PBB (ICJ) telah mengeluarkan keputusan awal untuk satu kes yang difailkan oleh Gambia ke atas Myanmar di bawah Konvensyen Penghapusan Etnik PBB 1948 atas layanan mereka kepada bangsa Rohingya. Dalam keputusan awal ini, ICJ mendapati bangsa Rohingya merupakan “kumpulan yang dilindungi di bawah Konvensyen Penghapusan Etnik” dan “wujudnya risiko yang nyata atau prejudis yang tidak boleh diubah ke atas hak asasi mereka [bangsa Rohingya].”

Ternyata, sebelum ini kerajaan Malaysia pernah mengiktiraf situasi Rohingya, termasuk menyokong tindakan Gambia di ICJ sebagai salah seorang ahli Organisasi Kerjasama Negara Islamik (OIC). Namun, tindakan Malaysia kemudiannya terhadap individu-individu Rohingya tidak mencerminkan pengiktirafan hak tersebut. Daripada menghalang bot yang penuh dengan bangsa Rohingya untuk memasuki perairan negara pada bulan April – menyebabkan kematian 30 individu dan 400 yang lain memerlukan rawatan perubatan rapi, serta menahan ratusan bangsa Rohingya sebaik sahaja mereka sampai, kerajaan langsung tiada kemajuan ke arah mengiktiraf hak asasi dan status pelarian Rohingya yang telah ratanya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Bangsa Rohingya yang masih berada di Malaysia berhdapan dengan diskriminasi, gangguan dan keganasan yang berterusan.

Prinsip non-refoulement yang tertakluk kepada Malaysia dan juga semua negara dunia bukan hanya terhad kepada larangan untuk menghantar pulang pelarian atau pencari suaka kepada negara yang akan menghukum mereka. Malah, prinsip ini turut merangkumi kesan yang dihadapi oleh pelarian dan pencari suaka ini.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), “Bagi memastikan prinsip non-refoulement ini dihormati dan mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa dapat dikenalpasti dan tidak dipaksa untuk dihantar pulang kepada situasi yang berisiko, mereka memerlukan akses kepada prosedur suaka, mereka tidak boleh dihantar ke negara ketiga… dan akhirnya, prosedur untuk menentukan sekiranya mereka adalah pelarian yang memerlukan perindungan atau tidak haruslah merangkumi jaminan yang pasti dan mengikut amalan-amalan tertentu.

Menangkap dan menahan pelarian Rohingya sebaik sahaja ketibaan mereka dan meghalang akses mereka kepada apa jua prosedur suaka, penterjemah, atau UNHCR atau NGO melanggar prinsip non-refoulement dan piawaian minimum yang menyokong kepada penguatkuasaan prinsip ini.

 

Penangkapan dan penahanan kanak-kanak melanggar tanggungjawab negara di bawah CRC, CEDAW dan Akta Kanak-Kanak

Penangkapan dan penahanan 49 kanak-kanak Rohingya yang tiba di Malaysia pada hari Isnin adalah amat mendukacitakan dan tidak berperikemanusiaan, serta ianya merupakan pelanggaran langsung kepada tanggungjawab antarabangsa negara.

Di bawah CRC, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan pelarian kanak-kanak menerima perlindungan dan bantuan kemanusiaan. Artikel 37 CRC menyatakan bahawa penangkapan dan penahanan kanak-kanak hanya boleh dilakukan sebagai “langkah terakhir dan untuk jangka masa pendek sahaja.” Tambahan lagi Artikel 22 turut menyatakan tanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak yang ingin mendapatkan status pelarian atau dikira sebagai pelarian, sama ada bersama penjaga atau tidak, akan menerima perlindungan dan bantuan kemanusiaan.

Alternatif penjagaan berasaskan komuniti di tempat imigresen telah pun dicadangkan sejak tahun 2014, akan tetapi masih belum dilaksanakan walaupun Perdana Menteri (pada waktu itu Menteri Dalam Negeri) bersetuju bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya ditahan di dalam depoh imigresen dan mengesahkan rancangan untuk membebaskan kanak-kanak daripada depoh imigresen bagi melaksanakan program alternatif tahanan.

Tambahan lagi, Saranan Umum 32 di bawah Jawatankuasa CEDAW memerlukan pendekatan sensitif gender untuk dilaksanakan di setiap tahap dalam proses suaka. Ini termasuk mengambil kira keperluan khusus pemandiri keganasan berasaskan gender dan seksual serta golongan yang terkesan seperti wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuklah kemudahan yang selamat serta akses kepada kebersihan asas dan keperluan perubatan. Berdasarkan maklumat Laporan SUHAKAM mengenai pelarian yang ditahan oleh kerajaan, piawaian ini tidak dipenuhi, dan kanak-kanak perempuan di dalam tahanan berisiko tinggi untuk menjadi mangsa keganasan berasaskan gender dan seksual.

Dalam Pemerhatian Rumus ke atas Malaysia pada tahun 2018, Jawatankuasa CEDAW telah menyarankan kerajaan malaysia untuk menghormati sepenuhnya prinsip non-refoulement; melindungi pencari suaka yang berada di dalam negara dan menjalankan prosedur pelarian yang bertepatan dengan piawaian antarabangsa; mewujudkan alternatif kepada tahanan bagi pelarian dan pencari suakan wanita dan kanak-kanak perempuan, sementara mengambil langkah-langkah bagi memastikan perlindungan daripada keganasan berasaskan gender. Dua tahun sejak saranan ini dibuat, tiada langkah yang konkrit yang telah diambil ke arah melaksanakan dan memenuhi tanggungjawab negara di bawah CEDAW.

Pada masa yang sama, Pemerhatian Rumus oleh Jawatankuasa CRC ke atas Malaysia pada tahun 2007 telah menyenaraikan beberapa langkah berkenaan pelarian kanak-kanak, seperti mengambil langkah untuk tidak menahan kanak-kanak dalam sebarag prosiding imigresen melainkan perlu agar kepentingan mereka terjaga, serta membangunkan rangka kerja legislatif bagi perlindungan kepada pencari suaka dan pelarian kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak 2001 telah menzahirkan tanggungjawab di bawah CRC dan telah menggariskan pelbagai peruntukan bagi menjaga hak asasi kanak-kanak. CRC merangkumi kesemua kanak-kanak di dalam skopnya dan perlindungan bukan hanya terhad kepada warganegara sahaja.

Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak melarang mana-mana individu bertanggungjawab untuk penjagaan kanak-kanak daripada penderaan atau pengabaian, mendedahkan kepada kecederaan fizikal dan emosi, yang menjadikannya satu kesalahan sekiranya dilakukan. Walaupun begitu dan penggubalan peruntukan-peruntukan lain yang bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan menjaga kepentingan mereka, pelarian kanak-kanak berterusan ditahan dan mengalami trauma emosi, keganasan fizikal, dan pencabulan hak asasi dalam pelbagai cara.

 

Kerajaan harus membebaskan tahanan dengan segera dan bertindak pantas untuk merancang rangka kerja undang-undang yang komprehensif bagi pelarian dan pencari suaka

Kami menggesa kerajaan untuk membebaskan kesemua 269 tahanan, termasuk 49 orang kanak-kanak, dan mula merancang rangka kerja undang-undang yang komprehensif bagi pelarian dan pencari suaka yang menjaga kepentingan pelarian kanak-kanak.

Sebahagian daripaa tanggungjawab Malaysia di bawah  prinsip non-refoulement kebiasaan undang-undang antarabangsa adalah untuk mewujudkan prosedur suaka dengan sebaiknya. Tambahan kepada tanggungjawab umum ini, Jawatankuasa CEDAW dan Jawatankuasa CRC telah menasihati kerajaa Malaysia secara khusus untuk mewujudkan prosedur yang bertepatan dengan piawaian antarabangsa. Jawatankuasa CRC juga telah menasihati kerajaan supaya meratifikasi Konvensyen 1954 dan 1961 dalam menangani masalah orang yang tidak berwarganegara dan pengurangan orang yang tidak berwarganegara, dan juga Konvensyen 1951 berkenaan Status pelarian serta Protokol 1967. Kami menggesa kerajaan untuk melaksanakan saranan ini.

Walaupun telah terikat kepada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa, dan pengiktirafan lalu kepada situasi Rohingya, Malaysia masih belum mengambil tindakan konkrit ke arah melaksanakan rangka kerja yang komprehensif dan juag prosedur untun menentukan dakwaan suaka. Tambahan pula, oleh kerana gagal untuk mengambil langkah mengiktiraf pelarian di sisi undang-undang, Malaysia terus membutakan mata kepada kesengsaraan individu yang berisiko– termasuk kanak-kanak—yang paling memerlukan perlindungan, dan sebaliknya mendedahkan individu-individu ini kepada penindasan, keganasan, dan diskriminasi yang berpanjangan.

Malaysia harus mengambil langkah aktif dan memenuhi tanggungjawab undang-undang antarabangsa dan tempatan serta mengehentikan penganiayaan berterusan kepada individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa.

###

Endorsed by the following JAG member organisations:

  1. Women’s Aid Organisation (WAO)

  2. Association of Women Lawyers (AWL)

  3. Justice for Sisters

  4. Women’s Centre for Change (WCC)

  5. Sisters in Islam

  6. KRYSS Network

  7. Sabah Women’s Action Resource (SAWO)

  8. All Women’s Action Society (AWAM)

  9. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

Endorsed by the following Child Rights Coalition Malaysia (CRCM) Coalition Members 2020

  1. Women’s Aid Organisation

  2.  MIRM

  3. Vanguards4Change

  4. PT Foundation

  5. Health Equity Initaitives

  6. Yayasan Chow Kit

  7. Voice of the Children

  8. SPOT

  9. Advocates for Non-Discrimination and Access to Knowledge (ANAK)

  10. Childline Foundation 

  11. Toy Libraries Malaysia

  12. Malaysian Council of Child Welfare (MKKM)

  13. Sabah Human Rights Centre (SHRC)

  14. Malaysian Social Research Institute

  15. World Vision Malaysia

  16. Malaysian CARE

  17. Asylum Access Malaysia (AAM)

  18. National Early Childhood Intervention Council

  19. PUAKPayong

Additionally endorsed by: 

  1. Dato’ Dr Amar-Singh HSS (Consultant Paediatrician)

  1. Katrina Jorene Maliamauv

  2. Beyond Borders Malaysia

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top