Skip to content

Pindaan Akta Kerja – Progres tetapi Terdapat Jurang

Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 telah diluluskan  di Dewan Rakyat. RUU telah memasukkan pembaharuan penting yang akan memberi kesan yang positif kepada berjuta-juta pekerja dan keluarga di seluruh negara. 

Namun begitu, masih banyak isu yang perlu ditangani. Yang amat mendesak ialah perintah Menteri untuk meminda Jadual Pertama (yang mentakrifkan siapa pekerja, dan kepada siapa akta itu terpakai) mesti disegerakan tanpa berlengah. 

  1. 98-hari cuti bersalin. Pada mulanya RUU ini meningkatkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari. Semasa perbahasan, Dewan Rakyat telah menambah kepada 98 hari – selaras dengan piawaian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Ini akan membantu memastikan ibu yang bekerja mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih dan menjaga bayi yang baru lahir.

  2. 7-hari cuti paterniti. RUU pada mulanya memperkenalkan tiga hari cuti paterniti. Semasa perbahasan, Dewan Rakyat menambah lagi kepada tujuh hari. Mewujudkan cuti paterniti merupakan satu pembangunan dasar yang penting dan tujuh hari adalah satu langkah awal yang baik. Cuti paterniti akan membantu bapa-bapa memainkan peranan penting semasa hari pertama selepas bersalin, dan ini juga akan membantu untuk mengubah norma bahawa lelaki memainkan peranan yang sama di rumah.
  3. Kepada siapa Akta terpakai (upah siling). Seksyen 44A dan 81G – yang melanjutkan faedah bersalin dan perlindungan gangguan seksual kepada semua pekerja tanpa mengira pendapatan – telah dipadamkan. Pernyataan penjelasan RUU menyatakan ini adalah kerana had gaji menyeluruh sedang disemak atau ditarik balik. Dalam ucapannya di Parlimen, Timbalan Menteri Sumber Manusia menyatakan had gaji akan dihapuskan melalui Perintah Menteri. Sekiranya Perintah itu tidak dilaksanakan, Akta ini tidak akan terpakai kepada pekerja yang berpendapatan melebihi RM2,000.  Oleh itu, pihak Kementerian mesti mengeluarkan Perintah untuk penelitian dan penggubalan tanpa berlengah.

  4. Perlindungan dari pemberhentian semasa kehamilan. RUU melarang majikan daripada memberhentikan pekerja apabila hamil, kecuali dalam keadaan tertentu. Malah, menjadi tanggungjawab majikan untuk membuktikan bahawa pemberhentian itu bukan disebabkan oleh kehamilan. Ini sangat dialu-alukan, walaupun RUU ini masih tidak melindungi daripada diskriminasi semasa pengambilan kerja.

  5. Memansuhkan sekatan ke atas kerja wanita. RUU telah memadamkan peruntukan untuk menyekat wanita untuk bekerja pada waktu malam dan kerja ‘underground’. Walaupun ini dialu-alukan – kerana menyekat kerja wanita menjejaskan hak ekonomi wanita – kita mesti memastikan dasar dapat dilaksanakan untuk memastikan ruang yang selamat untuk wanita – sebagai contoh majikan dikehendaki menyediakan pengangkutan yang selamat untuk pekerja wanita.
  6. Proses untuk melaporkan diskriminasi. RUU ini telah memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Buruh untuk menyiasat pertikaian di antara majikan-pekerja mengenai diskriminasi. Walau bagaimanapun:
    • RUU ini tidak melarang diskriminasi. Majikan boleh dihukum kerana gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah, selepas siasatan dijalankan. Namun majikan tidak akan dihukum kerana melakukan diskriminasi.
    • Terma diskriminasi tidak ditakrifkan. Diskriminasi perlu ditakrifkan untuk memasukkan diskriminasi langsung dan tidak langsung – dan alasan kepada diskriminasi (termasuk gender, agama, kaum, atau ketidakupayaan) perlu dinyatakan.
    • RUU tidak memasukkan perlindungan terhadap diskriminasi ke atas pencari kerja. Ini bermakna majikan boleh mendiskriminasi semasa proses pengambilan kerja – sama ada atas dasar gender, kaum, agama, ketidakupayaan, atau status yang lain.

7. Kembali bekerja semasa cuti bersalin. Seksyen 37aa sedang disemak. Seksyen 37aa membenarkan wanita yang tidak layak mendapat gaji cuti bersalin untuk kembali bekerja semasa tempoh bersalin (untuk mencari pendapatan), sekiranya dirasakan sesuai. Cadangan baru dalam Seksyen 37aa akan membenarkan mana-mana wanita (termasuk wanita yang layak mendapat gaji cuti bersalin) untuk kembali bekerja semasa tempoh cuti bersalin. Walaupun ini memberi wanita pilihan di atas kertas, kami menggesa agar kerajaan mengambil langkah untuk memastikan bahawa pekerja wanita tidak dipaksa untuk kembali bekerja awal.

8. Gangguan Seksual. RUU ini memerlukan majikan menyiarkan notis bagi meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual, meningkatkan denda bagi majikan yang tidak mematuhi peruntukan gangguan seksual seperti dalam Akta. Peruntukan gangguan seksual dalam AKta Kerja kekal lemah dan skop yang terhad. Untuk menangani gangguan seksual, RUU Anti-Gangguan Seksual 2021 mesti ditambah baik dan diluluskan dengan segera. 

Pindaan dalam RUU ini telah dijalankan sejak tahun 2016. WAO bersama rakan kongsi telah menjalankan beberapa inisiatif untuk menambah baik undang-undang ke arah meningkatkan kesamarataan gender di Malaysia. RUU ini kini beralih ke Dewan Negara.

Kami berharap untuk terus bekerjasan dengan lebih ramai lagi pemegang taruh yang telah membangunkan usaha ini – termasuk menteri, kementerian, Ahli Parlimen, pertubuhan buruh, kumpulan wanita, kumpulan masyarakat sivil, orang yang terjejas, media, influencer, orang ramai dan lain-lain – ke arah menambah baik lagi keadaan pekerjaan untuk wanita dan semua orang. 

 

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 3000 8858 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi: 

Yu Ren Chung, Deputy Executive Director, renchung@wao.org.my / 016 718 3247
Abinaya Mohan, Head of Campaigns, abinaya@wao.org.my  / 016 665 3237

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top