Skip to content

Tiga cadangan untuk tindakan pihak Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JKRT) semasa tempoh pelaksanaan PKPD

Berikutan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, pihak Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) ingin mengambil kesempatan untuk mengemukakan tiga cadangan untuk tindakan pihak Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT).

Dalam satu minggu yang lepas ini, WAO telah menerima permohonan bantuan daripada 12 mangsa keganasan rumah tangga untuk melepaskan diri dari tempat tinggal/pelaku.  Pihak kami khuathir permintaan sokongan seperti ini akan meningkat dan kami mohon pertimbangan pihak JKRT untuk mengambil langkah segera bagi memastikan mangsa KRT mendapat sokongan yang perlu ketika tempoh PKPD ini.

Cadangan tindakan adalah seperti berikut:

  1. Sebarang perubahan SOP dalam saluran bantuan mangsa KRT dimaklumkan kepada semua pegawai barisan hadapan dan masyarakat umum (contohnya proses permohonan EPO, IPO, kemasukan ke dalam tempat selamat, OSCC yang masih beroperasi dan boleh menerima mangsa).
  2. Pengecualian bagi pergerakan mangsa keganasan rumah tangga untuk merentas mukim/had 10km bagi tujuan pergi ke balai polis, hospital atau tempat selamat diumumkan bersama SOP PKPD lain. Cadangan ini mengambil contoh dari Kerajaan United Kingdom yang menyenaraikan mangsa keganasan rumah tangga sebagai kategori masyarakat yang dibenarkan bergerak ketika perintah pergerakan dikuatkuasakan di negara mereka:  https://www.nbcnews.com/news/world/faced-mounting-cases-england-announces-new-lockdown-n1252748
  3. Memastikan pesanan khidmat masyarakat merangkumi pesanan berikut:
  • Keganasan rumah tangga adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa berhak mendapat pertolongan walaupun ketika tempoh PKPD
  • Saluran sokongan yang masih dapat diperolehi mangsa ketika PKPD
  • Sebarang perubahan dari segi prosedur (contohnya proses permohonan IPO, kemasukan ke dalam tempat selamat, OSCC yang masih beroperasi untuk menerima mangsa) 
  • Pengecualian/aturan yang perlu dibuat supaya mangsa keganasan rumah tangga dapat meninggalkan rumah mereka terutamanya jika perlu merentas mukim/10km untuk melepaskan diri ke tempat selamat (e.g. cara untuk dapat permit perjalanan bagi mangsa)  
  • Kaedah penyampaian pesanan khidmat masyarakat mengenai KRT dipelbagaikan (contohnya melalui SMS, ketika pengumuman harian oleh MKN/Menteri, berita nasional, media sosial).

WAO akan terus menyediakan khidmat sokongan kepada mangsa KRT sepanjang tempoh PKPD ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan semua pekerja barisan hadapan, termasuklah anggota polis, pegawai kebajikan masyarakat, dan pekerja hospital, atas perkhidmatan mereka pada waktu yang genting ini.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Abinaya Mohan, Head of Campaign
abinaya@wao.org.my / 0166653237

Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer
rusnitajari@wao.org.my / 0133802287

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top