Women’s Aid Organisation, Press statement – 4 August 2022 Tabling of Law to #MakeStalkingACrime Welcomed…
Harapan untuk Pemandiri Keganasan Rumah Tangga
Apabila suami memukulnya, Alice terdesak untuk mendapatkan perlindungan.
Beliau menghubungi 999 dan mereka memberikan nombor Talian Bantuan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). Dengan bantuan WAO, Alice membuat laporan polis dan memperolehi Perintah Perlindungan Interim. Polis memberi sokongan padu kepada beliau, termasuk mengaturkan pengangkutan untuk berjumpa dengan Timbalan Pendakwa Raya. Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa suami Alice bersalah atas jenayah keganasan rumah tangga.
Alice berjaya memperoleh keadilan kerana pelbagai pihak bekerjasama untuk bertindak terhadap kesnya.
Kisah beliau adalah salah satu daripada 21 kisah yang dipaparkan dalam laporan kajian kes yang baru dilancarkan WAO berjudul, Perspektif mengenai Keganasan Rumah Tangga: Penyelarasan Gerak Balas Komuniti terhadap Isu Komuniti. Dalam laporan tersebut, pemandiri keganasan rumah tangga berkongsi pengalaman mereka dalam meninggalkan keganasan dan memperoleh perlindungan serta keadilan. Kisah-kisah mereka menunjukkan bagaimana gerak balas komuniti terselaras boleh mengubah kehidupan wanita yang menghadapi keganasan rumah tangga.
“Gerak balas ini perlu datang bukan sahaja daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak-pihak kerajaan yang lain, tetapi daripada setiap anggota komuniti. Pemandiri harus diutamakan dalam gerak balas komuniti terselaras ini,” jelas Natasha Dandavati, Pegawai Advokasi WAO dan pengarang laporan tersebut.
Laporan itu turut merangkumi statistik WAO dan cadangan kepada penggubal dasar untuk memperkukuhkan lagi gerak balas terhadap keganasan rumah tangga. Laporan kajian kes ini boleh dimuat turun di wao.org.my.
Bersama-sama dengan laporan tersebut, WAO turut melancarkan Harapan Sentiasa Ada, iaitu suatu pameran seni di Stesen LRT Masjid Jamek yang akan dipaparkan dari Mac hingga pertengahan Mei 2017. Pameran seni ini menampilkan karya seni oleh pemandiri keganasan rumah tangga, petikan kata-kata mereka serta ilustrasi TINA. TINA atau “Think I Need Aid”, adalah talian bantuan SMS dan WhatsApp WAO, yang digambarkan sebagai seseorang watak yang boleh berbual dengan pemandiri.
Pameran seni ini ditaja oleh Selangor Properties Berhad dan disokong oleh Think City, sebagai salah satu program Arts On The Move – satu inisiatif bersama oleh Think City dan Prasarana Malaysia Berhad.
“Pameran seni kami memperluaskan suara-suara pemandiri keganasan rumah tangga yang kebanyakannya kini tampil membela hak mereka sendiri. Seni mereka ini menawarkan harapan kepada pemandiri lain dan menggalakkan mereka untuk mendapatkan perlindungan dan keadilan,” kata Tan Heang-Lee, Pegawai Komunikasi WAO.
“Dengan mengetengahkan kisah-kisah pemandiri keganasan rumah tangga, kami juga berharap orang ramai akan menyedari tanggungjawab bersama untuk menghulurkan bantuan dan menyokong pemandiri-pemandiri. Keganasan rumah tangga adalah isu masyarakat. Oleh itu, kita semua perlu berganding bahu untuk menghentikan keganasan rumah tangga,” tambah Tan.
Pelancaran ini diadakan sempena Hari Wanita Sedunia.
Melalui projek-projek ini, WAO berharap untuk memperluaskan suara pemandiri keganasan rumah tangga, meningkatkan akses mereka kepada perlindungan dan memastikan gerak balas komuniti terselaras kepada keganasan rumahtangga. Bersama-sama, kami boleh membawa harapan dan mengubah kehidupan pemandiri keganasan rumah tangga.
Jika anda atau kenalan anda mengalami keganasan rumah tangga, sila hubungi Talian Bantuan WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058.
This Post Has 0 Comments