Skip to content

JAG: Kita Ingat, Kita Tegah Rogol

JOINT ACTION GROUP FOR GENDER EQUALITY (JAG)

KENYATAAN AKHBAR

 

Untuk diterbitkan pada 16 Januari 2013
Untuk maklumat lanjut:
Lee Wei San
03 7877 4221

Kita ingat. Kita tegah rogol

 

Hari ini, kami mengingati ‘Nirbhaya’, nama yang membawa makna ‘berani’, bersempena nama seorang wirawati yang berarung nyawa selama dua minggu setelah cedera parah akibat dirogol dengan ganas di New Delhi. Pada 16 Disember 2012, wanita berumur 23 tahun ini bersama dengan teman lelakinya menaiki sebuah bas untuk pulang ke rumah sesudah menonton wayang. Wanita muda ini dirogol dan disula dengan batang besi oleh lelaki-lelaki dalam bas tersebut sementara temannya dibelasah teruk. Mereka berdua akhirnya dicampak keluar dari bas tersebut. Hampir sejam mereka dibiarkan sahaja di tepi jalan, tanpa dibantu orang ramai, sebelum pihak polis sampai.

Peristiwa-peristiwa rogol yang ganas tidak asing dan turut berlaku di negara kita Malaysia. Kami kenang Noor Suzaily Mukhtar, seorang jurutera komputer berumur 24 tahun yang mati dicekik setelah dirogol dalam bas oleh pemandu bas tersebut. Kami ingati Canny Ong, seorang penganalisis komputer berumur 28 tahun yang diculik di tempat letak kereta, dirogol, kemudian dibakar. Kami tidak pernah lupa kanak-kanak yang tidak berdosa  – Nurul Hanis Kamil, gadis 16 tahun yang dirogol dan dibunuh semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah, Nurul Huda Ghani, 10 tahun, yang diculik dan dibunuh oleh seorang pegawai sekuriti, dan Nurin Jazlin, hanya 8 tahun semasa dia diliwat kemudian dibunuh. Dari 2001 hingga 2011, statistik polis menunjukkan kejadian rogol yang dilaporkan meningkat dari 1,217 ke 3,301. Statistik-statistik ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah kejadian sebenar. Kajian menunjukkan bahawa ramai mangsa tidak melaporkan kejadian rogol kerana takut dipandang serong oleh orang ramai, sering menyalahkan diri sendiri dan takut tidak dipercayai oleh pihak berkuasa.

Hari ini, kami memberi penghormatan kepada mendiang Nirbhaya dengan mengulangi seruan kita kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan yang terkandung dalam Memorandum Mengenai Rogol yang disampaikan oleh JAG kepada kerajaan pada tahun 2003. Walaupun beberapa tuntutan sudah diterimapakai, banyak lagi perlu diberi perhatian lanjut. Antaranya ialah tuntutan untuk mengiktirafkan rogol dengan objek sebagai rogol. Kini, rogol dengan menggunakan objek digelar “perhubungan seks dengan objek”, suatu  kesalahan luar tabii yang membawa hukuman maksima lebih ringan berbanding rogol.

Sebagai sebuah negara yang telah meratifisasikan Konvensi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan undang-undang serta dasar-dasar negara selaras dengan keperluan dibawah CEDAW. Menurut CEDAW, keganasan terhadap wanita, termasuk rogol, merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Artikel 5 CEDAW menegaskan bahawa selain reformasi undang-undang, kerajaan perlu mengambil langkah untuk menangani prejudis dan stereotaip yang merbahaya berkenaan tingkah-laku dan dan peranan wanita dan lelaki, yang berdasarkan kelebihan atau kekurangan yang kononnya wujud antara kedua-dua seks. Kesaksamaan mesti wujud dalam undang-undang dan realiti. Wanita hari ini, walaupun semakin terlibat dalam dunia politik dan awam, masih lagi menghadapi gangguan seksual dan seksisme.

Kes rogol Nirbhaya telah menarik perhatian kepada padahnya membiarkan seksisme dan pembencian terhadap wanita berleluasa. Salah satu pesalah dilaporkan berkata dia merogol Nirbhaya kerana Nirbhaya berani keluar di tempat awam dengan lelaki yang tidak sekeluarga dengannya. Nirbhaya juga dilaporkan dipukul lebih teruk kerana melawan balik dari dirogol. Undang-undang wujud tetapi tidak cukup berkesan untuk melindungi kita daripada rogol. Apa yang diperlukan adalah perubahan kesedaran di kalangan masyarakat.

Rogol adalah jenayah berasaskan keganasan dan kuasa. Di peringkat masyarakat, isu keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak mesti didahulukan. Keganasan seksual bukannya isu peribadi antara individu-individu yang berkenaan, sebaliknya merupakan pencabulan hak-hak asasi manusia. Keganasan seksual adalah jenayah. Penyiasatan dan pendakwaan yang tidak berkesan mesti ditangani dengan serta-merta, terutama sekali apabila mengambilkira bahawa jumlah laporan mengenai keganasan seksual amat rendah. Pandangan sempit dalam masyarakat mengenai peranan dan kedudukan wanita dan lelaki perlu diubah, dan ketidakseimbangan kuasa antara wanita dan lelaki perlu dipersoalkan. Sudah sampai masanya kita berhenti memberitahu wanita dan kanak-kanak untuk mengelakkan diri daripada dirogol. Sebaliknya kita mesti mengajar golongan lelaki dan remaja supaya berhenti merogol. Hanya dalam kes rogol mangsa ditanya tentang pakaiannya dan dipersalahkan. Sikap seksisme dan diskriminasi gender perlu dihentikan serta-merta. Semua pihak, termasuk lelaki, harus mengambil langkah-langkah untuk menangani punca berlakunya keganasan seksual.

Hari ini kita mengingati Nirbhaya yang berani menghadapi penyerang-penyerangnya, serta perjuangannya untuk terus hidup. Kami sentiasa mengenang insan-insan lain yang terkorban yang telah menjadi simbol kegagalan kita terhadap anak-anak perempuan dan juga anak-anak lelaki kita. Kita semua perlu tegas bahawa keganasan seksual tidak boleh diterima dan mengorak langkah bersama untuk menghapuskan ketidakadilan ini.

 

Joint Action Group for Gender Equality (JAG), yang terdiri daripada:
Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Persatuan Sahabat Wanita Selangor
Persatuan Wanita Perak Untuk Wanita ( PWW)
Pertubuhan Pertolongan Wanita ( WAO)
Pusat Kesedaran Wanita (WCC)
Sabah Women Action Resource Group (SAWO)
Sisters in Islam (SIS)
Tenaganita

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top