Skip to content

Bersuara tentang diskriminasi gender di tempat kerja

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyeru wanita-wanita yang mengalami diskriminasi gender di tempat kerja untuk bersuara dan berkongsi kisah-kisah mereka.

WAO baru-baru ini melancarkan kempen ‘Wanita Tersisih’ (‘Invisible Women’) untuk memperluaskan suara wanita-wanita yang mengalami diskriminasi gender. Wanita-wanita  ini boleh kongsi kisah mereka – secara anonim, jika mereka mahu — melalui laman web kempen, invisiblewomen.com.my.

“Tinjauan WAO 2016 menunjukkan bahawa 40% wanita hamil mengalami diskriminasi di tempat kerja. Justeru, kami ingin memberikan gambaran di sebalik statistik tersebut bagi menunjukkan impak ketara diskriminasi gender terhadap kehidupan wanita,” kata Presiden WAO, Carol Chin.

“Kempen ‘Wanita Tersisih’ juga menunjukkan betapa kerapnya wanita dilepas pandang di tempat kerja,’ kata Iska Hashim, Pengarah Kreatif Kumpulan Leo Burnett, rakan kreatif kempen tersebut.

Bersama-sama Ketua Reka Bentuk, James Seet, Hashim menerajui pasukan kreatif yang teruja untuk menyumbang terhadap isu ini.

“Pada masa yang sama, masyarakat bertanggapan wanita patut mempunyai anak,” jelas penulis iklan Leo Burnett, Pia Dhaliwal. “Namun secara professional, jarang sekali sokongan diberikan kepada wanita-wanita untuk berbuat sedemikian. Malah kadangkala, tiada sokongan langsung diberikan.

“Wanita sering  ditanya di temuduga kerja jika mereka merancang untuk mempunyai anak. Atau mereka diketepikan di tempat kerja jika mereka hamil. Atau mereka berdepan dengan kesukaran untuk memasuki pasaran kerja sekiranya mereka mengambil masa untuk membesarkan anak-anak,” jelas pengarah seni Leo Burnett, Lee Shyyi.

Oleh itu, kempen ini bertujuan untuk memberi gambaran terhadap cerita-cerita sebegini.

“Kami mahu sekumpulan wanita berkongsi kisah mereka untuk menunjukkan betapa luasnya diskriminasi gender ini — dan mengapa kita memerlukan undang-undang yang lebih baik,” tambah Chin.

“Pada masa ini, tidak ada undang-undang spesifik yang melarang diskriminasi gender di sektor swasta.”

“Matlamat utama kami adalah untuk menyokong Akta Kesetaraan Gender yang akan melindungi daripada diskriminasi gender. Kami memerlukan input dan sokongan orang ramai untuk menyokong tindakan ini.”

“Apabila kita berkongsi cerita, kita akan mendapati bahawa kita tidak bersendirian. Kita akan sekaligus mewujudkan perasaan solidariti. Anggaplah kempen ini sebagai #MeToo bagi diskriminasi gender,” kata Chin.

Kempen ini akan berakhir dengan sebuah pameran seni yang akan menampilkan kisah wanita-wanita ini yang akan bermula pada 8-18 Mac 2018 di White Box Theatre, Publika.

Kempen ini dibiayai oleh Suruhanjaya Tinggi British.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, sila lawat invisiblewomen.com.my.

###

 

Comments (0)

Leave a Reply

Back To Top