Skip to content

Enam cadangan kesiapsiagaan menghadapi pasca-banjir untuk tindakan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menangani peningkatan kes keganasan rumah tangga 

Berikutan kejadian banjir yang melanda di beberapa buah negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Pahang dan telah melibatkan ramai yang kehilangan tempat tinggal, harta dan aset, terdapat kekhawatiran akan meningkatnya kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan (VAWG) terutamanya kes keganasan rumah tangga (KRT).

Rakyat juga mula mempersoalkan apabila pihak berwajib lambat dalam membuat keputusan memberi respon terhadap pengurusan krisis bencana dan kurang penjelasan untuk bertanggungjawab apabila banjir teruk bermula yang telah memberi kesan kepada rakyat.

Sebagai langkah proaktif, pihak Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan beberapa cadangan tindakan untuk memastikan peningkatan kes keganasan terhadap wanita dapat dibendung.

Bencana alam dan keganasan rumahtangga

Bencana alam seperti banjir besar yang kini melanda Malaysia adalah satu petanda bahawa persedian untuk menghadapi pasca banjir harus diperkemaskan. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa selepas bencana alam berlaku, kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan meningkat. Terdedah kepada bencana alam boleh menyebabkan keganasan berlaku melalui peningkatan tekanan yang boleh mencetuskan VAWG, peningkatan persekitaran yang membolehkan VAWG berlaku dan punca asas yang boleh memburukkan keadaan keganasan.

Selepas pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia telah mengalami lonjakan peningkatan kes keganasan rumah tangga (lebih dua kali ganda dari kebiasaan). Ini menunjukkan bahawa persediaan awal diperlukan untuk sebarang kemungkinan terdapat lonjakan peningkatan kes keganasan berikutan banjir besar yang melanda. 

Oleh itu, amat penting untuk pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPWKM terutamanya Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) dan pihak yang berwajib mengambil langkah pantas dan tuntas agar peningkatan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan tidak berleluasa.

Cadangan tindakan adalah seperti berikut;

  • Memastikan laluan sedia ada untuk mendapatkan bantuan tidak terganggu termasuk bantuan mendapatkan perkhidmatan pengangkutan dan keselamatan kepada mangsa KRT dan VAWG
    • Banjir besar menyebabkan mangsa atau pemandiri berkemungkinan sukar untuk mendapatkan pengangkutan untuk bergerak mendapatkan bantuan disebabkan oleh kenderaan seperti kereta, motorsikal dan basikal yang dimiliki telah rosak akibat banjir atau mereka tidak menpunyai wang yang cukup untuk mendapatkan menaiki pengangkutan awam.
    • Kerajaan dan penyedia perkhidmatan seperti Talian KASIH 15999 / 019 26 15999 dan pihak polis 999 perlu lebih memberikan perhatian kepada  pelaporan dan mampu memberikan nasihat secara ‘remote’ dan menjalankan penyelamatan.
  • Sumber kerajaan harus mengutamakan tindak balas terhadap KRT dan VAWG apabila bencana alam berlaku
    • Berikutan COVID-19 dan pelaksanaan PKP yang lepas, kebanyakan sumber kerajaan telah digunakan secara tidak sengaja seperti pegawai polis yang bertugas untuk mengendalikan kes-kes penderaan terpaksa ditempatkan untuk menjaga sekatan jalan raya dan menyebabkan siasatan kes-kes penderaan tergendala atau ditangguhkan kerana kekurangan kakitangan untuk mengendalikan kes. 
    • Lebih banyak sumber mesti diperuntukan sebagai tindak balas kepada bencana alam seperti banjir besar yang berlaku. Kita mesti melihat tindak balas VAW adalah sebahagian daripada tindak balas bencana dan meletakkan sebagai satu keutamaan. Adalah penting agar kerajaan tidak mengalihkan sumber (sama ada sengaja atau tidak) jauh daripada tindak balas VAWG
    • Antara Peruntukan khas harus diberikan keutamaan adalah
      • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil lebih ramai pekerja sosial bagi membantu keadaan krisis banjir
      • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah bilangan kakitangan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)
      • Tambahan peruntukan kepada Talian KASIH bagi menambah bilangan kakitangan untuk menerima panggilan kes
      • Peruntukkan belanjawan tahun 2022 sebanyak RM13 juta untuk Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), PDRM tidak dipotong dan dikekalkan saban tahun.
  • Tempat perlindungan wanita (dan penyedia perkhidmatan lain) tidak menghadapi halangan untuk beroperasi dan mendapat bantuan kos operasi dari kerajaan
    • Tempat perlindungan dan NGOs berdepan dengan peningkatan kos pengoperasian disebabkan oleh peningkatan kes KRT. Ini untuk memastikan tempat perlindungan sentiasa memenuhi piawaian dan SOP kesihatan dan keselamatan seperti sanitasi, ujian COVID-19, ruang fizikal yang banyak bagi setiap mangsa yang terselemat, dan menguruskan bebas kes yang lebih banyak. 
    • Krisis banjir boleh memburukkan keadaan untuk menampung lebih banyak mangsa. 
    • Berikutan peruntukkan belanjawantahun 2022 sebanyak RM10 juta bagi mewujudkan tempat perlindungan khas bagi mangsa KRT iaitu Pusat Sokongan Sosial Sehenti (PSSS), kerajaan disarankan untuk menyokong kos operasi tempat perlindungan – sama ada kerajaan atau NGO – dan mempercepatkan pengoperasian yang telah lama tertangguh akibat COVID-19
  • Menubuhkan sistem penyelarasan di antara pasukan pengurusan bencana, pasukan penguatkuasaan undang-undang, Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) dan pihak berkuasa kesihatan untuk mencegah VAWG dan merawat kesihatan kesan dari krisis bencana alam.
  • Pakej bantuan ekonomi haruslah sensitif gender terutamanya mangsa yang mengalami krisis banjir dengan memastikan wanita yang dalam proses perceraian boleh mendapatkan bantuan, sama ada wanita atau lelaki yang layak sebagai ‘ketua isi rumah’ layak untuk mendapatkan bantuan, dan peruntukan khas untuk ibu tunggal.
  • Komunikasi dan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) harus berterusan dan merangkumi pesanan penting berikut;
    • Keganasan rumah tangga adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa berhak mendapatkan pertolongan walaupun ketika dalam pasca banjir
    • Saluran sokongan yang masih dapat diperolehi mangsa yang mengalami KRT walaupun ketika dalam krisis banjir
    • Kaedah penyampaian pesanan khidmat masyarakat mengenai VAWG dipelbagaikan (contohnya melalui SMS, sidang media, ketika pengumuman harian oleh MKN/Menteri, berita nasional, media sosial).

Enam cadangan tindakan di atas adalah tindak balas yang harus diambil perhatian oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan KPWKM terutamanya Jawatankuasa Keganasan Rumahtangga untuk menangani keganasan terhadap wanita (terutamanya keganasan rumahtangga). Kita harus mempertingkatkan usaha penyelarasan dasar yang ada bersama dengan semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan krisis banjir besar yang sedang melanda negara.

WAO akan terus menyediakan khidmat sokongan kepada mangsa VAWG terutamanya mangsa keganasan rumahtangga sepanjang tempoh krisis ini sedang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan semua pekerja barisan hadapan dan unit beruniform atas perkhidmatan yang diberikan pada waktu genting ini.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer
rusnitajari@wao.org.my / 0133802287

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top