Skip to content

JAG mengecam usaha meminda Akta 355

Joint Action Group for Gender Equality amat kecewa dengan pengabaian Kerajaan Malaysia terhadap keselamatan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) beragama Islam. Cadangan pindaan Akta 355 yang telah diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan menyebabkan hukuman jenayah yang lebih berat dikenakan kepada golongan LGBTQ+, dan ianya merupakan satu pengumuman yang tidak berperikemanusiaan, serta mencabul hak asasi mereka untuk hidup dengan kehormatan yang sama rata dan aman. Ini juga adalah sesuatu yang amat merisaukan kerana sentimen sedia ada mengenai transfobia dan homofobia akan lebih menebal berbanding pemahaman implikasi pindaan ini kepada semua lapisan masyarakat.

Penganiayaan komuniti adalah anti hak asasi manusia

Sejak beberapa tahun lalu, wujudnya peningkatan sentimen anti-LGBTQ+ disebabkan peranan pihak berkuasa agama negeri dalam mengganggu dan menganiaya golongan minoriti atas dasar orientasi seksual dan identiti gender.

Pemburuan berterusan ke atas Nur Sajat merupakan satu contoh kekangan kejam ke atas kebebasan bersuara, gender, orientasi seksual, serta kebebasan beragama yang terpaksa dihadapi oleh komuniti ini. Usaha giat dari pihak berkuasa ini amat merisaukan kerana ianya akan membenarkan diskriminasi dan keganasan terhadap golongan LGBTQ+. Pada tahun 2018, seorang wanita transgender di Negeri Sembilan telah dipukul oleh sekumpulan lelaki dewasa dan remaja. Ini bukanlah insiden yang terpencil dan pindaan kepada undang-undang yang sudah sedia menindas boleh menyebabkan kesan buruk kepada keselamatan golongan LGBTQ+.

Percubaan terawal untuk meminda undang-undang ini pada tahun 2016 bertujuan untuk meningkatkan had hukuman maksimum Mahkamah Shariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan 100 sebatan. Ini merupakan satu perubahan drastik kepada had hukuman semasa iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan. Jika pemindaan dilaksanakan, ianya membimbangkan kerana hukuman ini lebih berat berbanding jenayah rogol yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Terapi pemulihan adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan Artikel 8

Ianya juga merupakan satu kerisauan besar bagi JAG melihatkan Menteri dari Jabatan Perdana Menteri turut menyokong program terapi pemulihan oleh kerajaan dengan mengatakannya sebagai cara yang lebih lembut bagi “pemulihan” identiti gender dan orientasi seksual. Secara langsung, pendirian ini telah mengabaikan impak kesihatan mental dan keyakinan diri individu yang bakal menjalani program ini.

Sehingga kini, program ini telah menyasarkan wanita transgender, lesbian, dan gay dan akibatnya, akan melanjutkan lagi penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan negeri dan keganasan terhadap wanita. Ini adalah bertentangan dengan komitmen kerajaan kepada CEDAW dan perlindungan tanpa diskriminasi yang sepatutnya dijamin melalui Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ironinya, cadangan langkah yang mendiskriminasi ini adalah satu bentuk pencabulan langsung ke atas hak asasi manusia sementara gesaan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein supaya melantik Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Keputusan kerajaan untuk meneruskan hukuman yang lebih berat ke atas golongan LGBTQ+ Muslim akan bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB.

Oleh itu, JAG memohon para Menteri kabinet supaya mengelakkan cadangan ini dibentangkan di sesi parlimen seterusnya dan untuk menghentikan sebarang penganiayaan terhadap golongan LGBTQ+.

 

Disokong oleh ahli organisasi JAG berikut:

  1. Women’s Aid Organisation (WAO)
  2. All Women’s Action Society (AWAM)
  3. Sisters in Islam (SIS)
  4. Justice for Sisters
  5. KRYSS Network
  6. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  7. Perak Women for Women (PWW)
  8. Sarawak Women for Women Society (SWWS)
  9. Association of Women Lawyers (AWL)
  10.  Women’s Centre for Change (WCC Penang)

 

Mengenai Joint Action Group for Gender Equality (JAG)

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) merupakan satu pakatan antara 14 pertubuhan hak asasi wanita di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Sejak 1985, kami telah berjuang untuk kesaksamaan gender dan keadilan sosial di Malaysia dalam rangka kerja feminis. Kami memanfaatkan pelbagai kepakaran dan menyuarakan suara wanita bagi meningkatkan kesedaran awam dan berjuang untuk perubahan undang-undang. Kami mengangkat standard hak asasi manusia antarabangsa dalam menggalakkan keadilan, kesaksamaan, dan anti-diskriminasi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Abinaya Mohan di abinaya@wao.org.my atau +6016 665 3237

Comments (0)

Leave a Reply

Back To Top