Skip to content

Keganasan Rumah Tangga adalah Jenayah Serius!

Berdasarkan laporan akhbar baru-baru ini, seorang wanita di Kuala Lumpur telah meninggal dunia dipercayai setelah berkali-kali dipukul oleh suaminya. Turut dilaporkan bahawa terdapat kesan lebam baru dan lama pada tubuh mangsa. Malang sekali, turut dikatakan laporan polis telah dibuat sekurang-kurangnya 10 kali sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka.

Januari lalu sebuah lagi akhbar turut melaporkan tentang seorang wanita yang telah dipaksa untuk berkahwin dengan perogolnya semasa dia berumur 16 tahun dan terpaksa mengharungi keganasan rumah tangga sepanjang 12 tahun dan telah membuat 20 laporan polis. Apabila beliau cuba menuntut cerai, pipi kanan wanita tersebut telah dikelar dan ibu jari kanannya dipotong. Dia juga diugut, “kalau hendak bercerai, gadaikan nyawa kamu”

Melihat kepada kedua-dua kejadian tragis ini, kesemua laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa-mangsa tersebut “bagaikan mencurah air ke daun keladi”. Tiada sebarang tindakan berkesan diambil dan akhirnya seorang mangsa dipercayai meninggal dunia di tangan suaminya sendiri, manakala seorang lagi cedera parah dan hidup dalam ketakutan.

Kedua-dua kes di atas adalah beberapa kes contoh bagi tahun 2013 sahaja. Menurut Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2007 sehingga Februari 2012, sebanyak 18,124 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. Bagi tahun 2012, Women Centre for Change (WCC) telah mendapati kes-kes keganasan rumah tangga yang dirujuk dari Hospital Pulau Pinang meningkat sebanyak 300% berbanding tahun 2011. Peningkatan mendadak ini amatlah membimbangkan.

Keganasan rumah tangga adalah suatu jenayah serius yang perlu ditangani dengan segera kerana ia menjejaskan masa depan wanita dan kanak-kanak. Jenayah ini bukan sekadar masalah keluarga malah mendatangkan kesan buruk yang mendalam dan berpanjangan terhadap keluarga dan masyarakat.

Akta Keganasan Rumah Tangga yang diwartakan sejak tahun 1994 telah mengiktiraf bahawa keganasan rumah tangga adalah satu jenayah terhadap masyarakat dan bukan masalah peribadi keluarga. Tujuan utama Akta ini adalah untuk melindungi wanita dan ahli keluarga yang didera, antaranya melalui perlaksanaan perintah-perintah perlindungan, atau pendakwaan di mahkamah. Malangnya selepas 19 tahun Akta ini diluluskan, realitinya penguatkuasaan undangundang ini dilihat semakin merosot.

WCC seringkali menerima aduan terhadap sebahagian kakitangan agensi penguatkuasaan mengatakan bahawa laporan penderaan mereka tidak dihiraukan. Sesetengah mangsa dituduh menjadi penyebab kepada keganasan tersebut walhal siasatan kes belum dimulakan. Akibatnya, mereka berputus asa dan terpaksa pulang ke rumah, memendam segala sengsara dan derita.

Jika amalan sebegini berterusan, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap agensi penguatkuasaan dan berputus asa untuk memperolehi sebarang perlindungan yang sewajarnya. Amat malang jika Akta ini hanya tinggal prinsip yang sia-sia, dan jenayah ini terus berleluasa.

Hak-hak mangsa untuk menerima perlindungan perlu dipelihara dan bukan maruah keluarga yang diutamakan. Wanita yang didera memerlukan pelaksanaan undang-undang yang berkesan oleh pihak penguatkuasa agar mereka tidak terus dibelasah.

WCC menegaskan agar kesemua laporan keganasan harus ditangani dengan penuh berhemah, berkesan dan cekap oleh pegawai-pegawai penguatkuasa yang cukup terlatih dan bersikap prihatin. Hanya dengan cara ini jenayah keganasan rumah tangga dapat ditangani.

 

Melissa Mohd Akhir dan Hasanah A. Akhir
Women’s Centre for Change (WCC)

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top