Skip to content

Klinik-klinik kesihatan utama adalah tempat terbaik untuk rujukan pemandiri keganasan rumahtangga. Berikut adalah empat cara untuk memperkasa respon klinik-klinik kesihatan kepada keganasan rumahtangga.

Ketika krisis COVID-19, kita telah melihat peningkatan dalam kes keganasan rumahtangga yang telah dirujuk sebagai ‘pandemik di dalam pandemik’. Pada masa yang sama, sumber penjagaan kesihatan terutamanya di hospital dan wad-wad kecemasan telah digunakan sepenuhnya untuk merawat pesakit COVID-19.

Pada saat kita berusaha untuk menangani pandemik, kita juga harus memandang kehadapan dan menilai bagaimanakah caranya untuk kita memperkasa sistem penjagaan kesihatan dalam menangani krisis kesihatan awam yang kritikal sepertimana yang sedang kita alami sekarang, dan juga untuk menangani krisis kesihatan jangka panjang seperti kes keganasan rumahtangga.

Salah satu cara untuk menanganinya adalah dengan memperkasa respon kepada kes keganasan rumahtangga di klinik-klinik kesihatan utama seperti Klinik Kesihatan. Ini bukan hanya akan memastikan sokongan yang lebih baik, malah akan membantu mengurangkan bebanan kepada hospital dan juga wad-wad kecemasan.

Klinik-klinik kesihatan utama adalah tempat yang terbaik untuk merujuk pemandiri keganasan rumahtangga kerana pemandiri kebiasannya kerap kali mencari bantuan daripada sistem kesihatan sebelum ke balai polis dan klinik merupakan hentian yang pertama bagi pemandiri di dalam sistem kesihatan.

Kes keganasan rumahtangga juga merupakan kes yang biasa ditangani di klinik-klinik kesihatan utama. Menurut kajian pada tahun 2019, 22 peratus wanita yang pergi ke klinik-klinik kesihatan di Kuala Lumpur pernah mengalami keganasan rumahtangga.

Meskipun begitu, masih belum ada mekanisme respon yang sistematik kepada keganasan rumahtangga di peringkat klinik kesihatan. Kesannya, penyedia penjagaan kesihatan yang telah berhadapan dengan pemandiri keganasan rumahtangga tidak berpeluang untuk memberikan sokongan kepada mereka.

Di dalam taklimatnya yang terkini, ‘Memperkasa  Respon Klinik Kesihatan Utama Kepada Keganasan Rumahtangga’, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) membentangkan empat saranan  berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, untuk memperkasa respon kepada keganasan rumahtangga di klinik-klinik kesihatan utama.

Pertama, penyedia penjagaan kesihatan perlu dilatih untuk mengenalpasti keadaan kesihatan yang melibatkan keganasan rumahtangga dan bertanya kepada pesakit mengenai keganasan rumahtangga.

Keganasan rumahtangga boleh menjadi punca atau merumitkan pelbagai masalah kesihatan, terutamanya yang melibatkan kesihatan mental (seperti kesukaran untuk tidur, yang akan mengakibatkan tekanan dan kegelisahan kerana penderaan fizikal dan psikologi yang berpanjangan) dan kesihatan seksual dan reproduktif (seperti simptom reproduktif yang tidak dikenalpasti, contohnya radang pelvis). Oleh itu, untuk menguruskan keadaan ini dengan efektif, penyedia penjagaan kesihatan perlu untuk mengetahui sama ada pesakit mereka telah terdedah kepada keganasan rumahtangga atau tidak.

Penyedia penjagaan kesihatan perlu untuk dilatih dalam mengenalpasti masalah kesihatan berkaitan keganasan rumahtangga dan bertanya kepada pesakit mengenai keganasan rumahtangga kerana kajian telah mendapati bahawa pemandiri keganasan rumahtangga lebih mudah untuk berkongsi pengalaman mereka sekiranya penyedia penjagaan kesihatan bertanyakan soalan tersebut.

Perhatian yang khusus perlu diberikan  dalam mengesan kes keganasan rumahtangga di kalangan pesakit yang berada di klinik materniti kerana kesan kesihatan akibat keganasan adalah lebih ketara ketika kehamilan. Wanita hamil juga membuat lawatan ke klinik materniti beberapa kali ketika tempoh hamil yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada penyedia penjagaan kesihatan untuk mengesan keganasan dan menyediakan rawatan susulan.

Kedia, penyedia penjagaan kesihatan perlu dilatih untuk mengenalpasti, memberi respon, dan merujuk kes-kes keganasan rumahtangga.

Latihan amat penting kerana bimbang sekiranya pesakit akan tersinggung atau tidak tahu soalan apa untuk ditanya adalah antara halangan  kepada penyedia penjagaan kesihatan apabila mereka ingin bertanya mengenai keganasan rumahtangga kepada pesakit. Ini telah dipetik dari kajian yang telah dilakukan dalam kalangan klinik-klinik kesihatan di Malaysia.

Untuk melatih penyedia penjagaan kesihatan, kita perlu untuk mematuhi kurikulum latihan Perubuhan Kesihatan Sedunia mengenai penyedia perkhidmatan kesihatan bagi keganasan keganasa terhadap wanita.

Ketiga, klinik-klinik kesihatan utama perlu mempamerkan maklumat mengenai keganasan rumahtangga di ruangan menunggu dan tandas.

Ini akan membolehkan pemandiri untuk mendapatkan maklumat tanpa disedari oleh sesiapa, yang mana akan membantu memastikan keselamatan mereka, terutamanya  sekiranya mereka ditemani oleh pendera di klinik.

Dengan mempamerkan maklumat mengenai keganasan rumahtangga, ianya juga akan memberi mesej bahawa klinik-klinik kesihatan juga sensitif terhadap keganasan rumahtangga, yang mana ianya akan menggalakkan para pemandiri untuk mendapatkan bantuan.

Keempat, kerajaan perlu mewujudkan sistem rujukan bagi kes keganasan rumahtangga di peringkat klinik-klinik kesihatan utama.

Sistem rujukan ini boleh disepadukan di dalam Garis Panduan untuk Menangani Kes-Kes Keganasan Rumahtangga yang telah diwujudkan yang mana ianya menggariskan pelbagai agensi kerajaan yang boleh memberi respon kepada keganasan rumahtangga.

Dengan memperkasa respon  klinik-klinik kesihatan utama kepada keganasan rumahtangga, lebih ramai pemandiri akan mendapatkan bantuan sekiranya mereka memerlukan dan akan mengurangkan krisis kecemasan.

Taklimat polisi penuh WAO boleh dimuat turun di bit.ly/waoprimarycare. Kerja-kerja advokasi WAO disokong oleh rakan strategik kami, Yayasan Sime Darby.

[1] Shuib, R., Ali, S. H., Abdullah, S., Ab Ghani, P., Osman, I., Endut, N.,…Shahrudin, S.S. (2014). Executive Report, Summary of Findings: A Country Level Study of Women’s Well-being and Domestic Violence Against Women (DVAW) Using WHO Multi-country Questionnaire. Women’s Development Research Centre (KANITA), Universiti Sains Malaysia.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Head of Campaigns

natasha@wao.org.my 

 

Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer

rusnitajari@wao.org.my/+60 13-380 2287

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top