Skip to content

Lindungi Pelajar, Bentang Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa agar kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan membentuk satu kerangka bagi melindungi pelajar dari gangguan dan perilaku pemangsa. Kami meminta agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin untuk memandang serius pengalaman yang dilalui oleh pelajar di institusi pendidikan kita dan mengutamakan janji membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual.

Pendedahan terbaru mengenai seorang pelaku iaitu pensyarah UITM Dengkil terhadap pelajar dan bekas pelajar institusi tersebut merupakan masalah besar dan sangat membimbangkan. Ini berlaku selepas beberapa bulan pendedahan yang dilakukan oleh pelajar seperti Ain Husniza dan mereka yang tampil mendedahkan mengenai pemeriksaan haid (period-checks). Terdapat banyak laporan dari institusi pendidikan tinggi termasuklah institusi terkemuka seperti Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal SAYS.com, 15 pelajar telah tampil ke hadapan dan mendedahkan perbuatan pensyarah UITM tersebut melalui perbincangan di Twitter mengenai hala tuju pengajian tinggi di Malaysia, berikutan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tangkapan skrin yang dikongsi oleh bekas pelajar menunjukkan ‘jenaka’ oleh pensyarah  tersebut, mengenai bagaimana dia melihat pelajarnya dengan ‘wajah yang terangsang’, merenung payudara pelajar, dan membawa masuk pelajar ke pejabatnya dalam kampus untuk melakukan ‘fun business’. Seorang mangsa memperincikan perbuatan menggoda yang diterima di media sosial, sementara laporan lain menunjukkan pengantunan seksual (sexual grooming) dengan meminta pelajar menyerahkan diari hubungan peribadi kepada pelaku.

Walaupun UiTM telah menjalankan siasatan terhadap tuduhan ini, namun pensyarah tersebut masih mengajar di universiti.

Kejadian ini memperlihatkan masalah yang lebih besar dan mengendalikan kes-kes gangguan seksual. Kajian terdahulu mendapati bahawa gangguan seksual sering berlaku di institusi pendidikan – tinjauan yang dijalankan oleh YouGov pada tahun 2019 mendapati bahawa 22% responden mengalami gangguan seksual di institusi pendidikan, sementara kajian yang dijalankan dan dibentangkan di Parlimen pada September 2019 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang melibatkan lebih 28,000 responden mendapati bahawa 10% mangsa gangguan seksual mengatakan ianya berlaku di institusi pendidikan.

Pada akhirnya, pemandiri terpaksa bergantung kepada dasar dan garis panduan universiti dan sekolah mereka, sekiranya ada. Ketiadaan kerangka yang seragam untuk pencegahan dan pengurusan kes-kes gangguan seksual membolehkan institusi melindungi pelaku dan membebaskan mereka dari dipertanggungjawabkan. Ini akan melindungi individu yang berkedudukan dan berkuasa, seperti pensyarah. Ini sangat berbahaya dan merugikan bagi pelajar yang menjadi pemandiri, seperti yang dibuktikan oleh Pengurusan Integriti Universiti Malaya tahun lepas akibat dari pengurusan yang lemah. Satu tinjauan mengenai gangguan seksual yang dijalankan oleh All Women’s Action Society (AWAM) mendapati bahawa 59% responden tidak melaporkan kejadian tersebut, dengan alasan bahawa takut akan kesan apabila melaporkan kerana pelaku merupakan seseorang yang mempunyai kuasa.

Ini perlu dihentikan. Kita tidak seharusnya melindungi pelaku dan Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan mempunyai mandat untuk melindungi dan memastikan agar pelajar selamat dari eksploitasi seksual. Komitmen kerajaan terhadap Konvensyen Penghapusan terhadap Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan yang paling penting kepada rakyat Malaysia harus ditegakkan.

Disokong oleh:

  1. Women’s Aid Organisation (WAO)
  2. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  3. UNDI 18
  4. Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia
  5. Demokrat Kebangsaan
  6. Demokrat Malaya
  7. Siswa Solidariti USM
  8. MYER Movement
  9. Sarawak Women for Women Society (SWWS)
  10. Sisters in Islam (SIS)
  11. All Women’s Action Society (AWAM)
  12. The 111 Initiative
  13. Perak Women for Women Society (PWW)
  14. KRYSS Network
  15. Sekolah Semua
  16. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI MALAYSIA)
  17. Engender Consultancy

 

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Abinaya Mohan, Head of Campaigns
abinaya@wao.org.my / 60166653237

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top