Skip to content

WAO Mengalu-alukan Masjid Sebagai Pusat Transit Bagi Pemandiri KRT

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan pelancaran program Masjid Sebagai Pusat Transit bagi Mangsa Keganasan Rumahtangga oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan juga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dilaporkan pada 4 Mei, bahawa empat belas masjid di sekitar Kuala Lumpur telah bersetuju untuk menyediakan penempatan sementara, perkhidmatan kaunseling, dan keperluan asas kepada pemandiri yang mencari tempat perlindungan. Masjid-masjid ini juga akan berfungsi sebagai Pusat Aduan yang terbuka kepada semua individu tanpa mengira etnik dan agama. Pegawai JAWI yang ditugaskan di masjid-masjid ini telah dilatih dengan fokus empati, perhatian, respon, dan sokongan dalam menguruskan kes keganasan rumahtangga. Pemandiri juga akan menerima kit penjagaan peribadi termasuklah pakaian bersih, peralatan mandian, dan keperluan asas yang lain seperti bantuan penjagaan diri ketika tempoh mereka berlindung.

Rumah perlindungan kecemasan merupakan satu sumber yang boleh menyelamatkan nyawa bagi para pemandiri; ianya merupakan satu solusi sementara yang segera yang menyediakan ruangan selamat bagi para pemandiri untuk mencari tempat perlindungan keganasan rumahtangga standard.

Sepertimana yang digariskan di bawah Toolkit dan Standard Rumah Perlindungan Keganasan Rumahtangga WAO, lokasi tempat perlindungan haruslah dirahsiakan bagi mengelakkan pendera daripada mengesan pemandiri dan petugas kerana kami percaya bahawa masjid yang wujud sebagai ruang komuniti adalah yang terbaik bagi situasi risiko rendah oleh kerana limitasi keselamatannya.

Wujudnya keperluan penting bagi rumah perlindungan kerana laporan keganasan rumahtangga ketika pandemik telah meningkat. Sejak Januari 2021, Talian Kasih milik Kementerian telah menerima 902 laporan mengenai keganasan rumahtangga, sementara daripada Januari hingga Mac tahun ini, WAO menerima 708 laporan – menunjukkan betapa membimbangkan krisis ini. Pengumuman ini diumumkan pada masa yang tepat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akan bermula sekali lagi pada minggu ini di beberapa kawasan di Selangor dan kes keganasan mungkin akan meningkat akibat keadaan berkurung bersama pelaku dan larangan untuk merentas daerah bagi mendapatkan bantuan.

Dalam menyediakan perkhidmatan rumah perlindungan, kami menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempertimbangkan tindakan mewujudkan persekitaran yang selamat dan tersembunyi dari pandangan awam bagi penyediaan bantuan fizikal dan psikologi. Tambahan lagi, kami juga menggalakkan langkah-langkah mengelakkan diskriminasi dan pemantauan yang ketat bagi memastikan standard pusat transit ini dipenuhi. Ini memberikan mesej yang jelas bahawa setiap individu dalam komuniti memainkan peranan yang penting dalam membantu mangsa keganasan rumahtangga, daripada langkah pencegahan kepada intervensi.

Kami berharap kerajaan akan terus berhubung dengan organisasi masyarakat awam seperti WAO yang telah lama menyediakan rumah perlindungan, perkhidmatan sokongan, dan program pembangunan kapasiti kepada pemandiri dan bekerjasama dalam perkongsian pengetahuan dan kepakaran. Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang peluang untuk membantu.

Kami meraikan usaha pintu terbuka daripada masjid-masjid yang terlibat dan berharap kejayaan program perintis ini akan membantu pemandiri keganasan rumahtangga.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Abinaya Mohan, Head of Campaigns
abinaya@wao.org.my / 60166653237

Isabel Chung, Research & Advocacy Officer
isabelchung@wao.org.my / 60172987862

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top