Skip to content

Persetujuan mengandungi batas-batas jelas yang mesti dipelajari oleh semua orang

Surat Kepada Pengarang – oleh 14 kumpulan

Gerakan #MeToo, termasuk di dalam negara di Malaysia, menyorot perhatian sewajarnya pada masalah gangguan seksual dan keganasan seksual, dan membina persekitaran di mana para mangsa merasa mereka dapat tampil ke hadapan dengan cerita mereka. Dalam konteks ini, berlanjutnya kekeliruan dari banyak pihak – termasuk pelaku gangguan dan keganasan, bahkan masyarakat – mengenai permasalahan persetujuan. Kekeliruan ini boleh menyebabkan masyarakat gagal menyokong pemandiri yang berkongsi pengalaman mereka.

Seperti yang dinyatakan oleh UN Women, terdapat batasan yang jelas dalam persetujuan dan kita masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mendidik diri kita supaya mengenali dan menghormati batasan tersebut.

Lima ciri persetujuan

Terdapat lima ciri persetujuan yang dikenali: persetujuan yang diberikan secara bebas/sukarela, termaklum, bersungguh, spesifik, dan boleh ditarik balik. Dalam setiap situasi, kelima-lima elemen ini wajib ada.

Persetujuan diberikan secara bebas mempertimbangkan adakah ia diberikan tanpa sebarang tekanan atau ancaman, dengan kesedaran penuh, dan tanpa keterlibatan bahan yang mempengaruhi kesedaran . Sekiranya seseorang mabuk atau tidak sedarkan diri, dia tidak boleh memberi persetujuan secara bebas.

Memberi persetujuan termaklum bermaksud kedua-dua pihak mempunyai maklumat yang relevan dan sama-sama benar-benar faham apa yang dilakukan. Sebagai contoh, jika salah seorang berbohong mengenai penggunaan alat kontraseptif atau jika dia menghidap penyakit kelamin, dan pihak lain pula bersetuju kesan dari pembohongan itu, ia tidak dikira persetujuan yang termaklum.

Persetujuan haruslah bersungguh. Maksudnya ia berbentuk ‘ya’ yang aktif, dan bukannya berdiam diri atau tidak yakin. Elemen ini sangat penting ketika menilai bukti dalam kes pemerkosaan dan serangan seksual, kerana seringkali apa yang dipertimbangkan adalah sama ada terdapat tanda-tanda protes fizikal atau perlawanan. Memandangkan terdapat banyak sebab seseorang tidak boleh memprotes secara fizikal atau lisan – termasuk kerana terkejut dan ketakutan – tumpuan mesti diberikan pada bukti persetujuan yang bersungguh dan tegas, dan bukannya bukti penentangan.

Persetujuan khusus mengambil kira bahawa seseorang mungkin merasa selesa, dan memberikan persetujuan terhadap satu tindakan, tetapi tidak semestinya terhadap yang lain. Perhatikan bahawa persetujuan juga mengambil kira faktor waktu, yang bermaksud persetujuan yang diperoleh untuk pertemuan yang lalu tidak dapat dianggap boleh digunakan untuk setiap pertemuan berikutnya, malah untuk perlakuan yang sama. Persetujuan harus diperiksa setiap masa.

Akhirnya, salah satu elemen persetujuan yang paling kritikal dan sering diabaikan adalah bahawa ia boleh ditarik balik. Seseorang berhak menarik kembali persetujuan pada bila-bila masa, termasuk di tengah-tengah perlakuan yang pada awalnya dipersetujui. Jangan meremehkan persetujuan, sekalipun dalam hubungan jangka panjang.

Berpegang pada  lima elemen ini dalam tiap situasi membantu kita menghilangkan sebarang kekeliruan tentang sama ada persetujuan benar-benar telah diberikan.

Batas-batas persetujuan yang ketat harus dihormati semua

Kerap kali ketika pemandiri berkongsi pengalaman mereka dan bersuara, mereka tidak dipercayai, dihina, malah peribadi mereka diserang. Walaupun setiap individu berhak menjalani proses yang sewajarnya, dan setiap dakwaan pelecehan seksual dan keganasan harus diselidiki secara menyeluruh, juga penting bagi kita sebagai masyarakat untuk mengenali peranan yang harus kita mainkan dalam mempercayai pemandiri dan menawarkan mereka sokongan, bukannya menyalahkan mangsa atau mendedahkan mereka kepada serangan selanjutnya.

Salah satu cara di mana kita dapat menyokong mangsa adalah dengan memastikan bahawa kita, secara individu dan masyarakat, memahami sepenuhnya konsep persetujuan dan menilai tuduhan gangguan seksual dan keganasan melalui lensa ini. Proses penilaian haruslah sama untuk para pelaku, dan tidak boleh dipengaruhi oleh faktor seperti kuasa, hak istimewa, atau jaringan peribadi.

Terdapat kecenderungan untuk menyalahkan pemandiri apabila kita tidak memahami persetujuan. Sebilangan orang yang belum mengetahui ciri-ciri persetujuan juga memiliki salah faham bahawa dalam persetujuan ada garis-garis yang kabur. Contohnya, dalam kes serangan seksual di mana pemandiri berada dalam keadaan mabuk, respon masyarakat selalunya adalah mempersoalkan kenapa pemandiri minum arak. Tanggapan ini mengalihkan tanggungjawab dari pelaku, dan gagal mengakui bahawa salah satu dari lima aspek utama persetujuan adalah ia harus diberikan secara bebas dan sukarela.

Memahami elemen-elemen persetujuan dan mematuhi batasannya dapat membantu semua orang. Ia menghilangkan keraguan tentang apakah persetujuan itu benar-benar ada dan ia memperkasakan kita sebagai masyarakat – termasuk  sistem perundangan – untuk menilai secara lebih sensitif aduan salah laku seksual dalam memastikan sama ada kelakuan tersebut dipersetujui atau tidak dan apakah kesudahan yang wajar baginya.

Para individu dan pemain utama seperti kerajaan dan badan organisasi memiliki peranan penting dalam proses kebertanggungjawaban. Jika kita tidak mengakui dan menerima tanggungjawab untuk peranan yang kita ambil dalam kes-kes ini, kita juga bersubahat dengan kejahatan yang berlaku. Harus ada kerjasama yang lebih besar untuk membuat para pelaku bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika mereka tetap berada dalam posisi kekuasaan mereka, dan tidak menerima akibat dari kelakuan mereka. Ia juga membantu kita dalam menjadi masyarakat yang bukan hanya menyokong dan mengakui hak-hak pemandiri, bahkan mendukung pendirian sejagat toleransi sifar terhadap gangguan dan keganasan seksual.

Tindakan mendengar dengan tujuan memperkasakan kebolehan para pemandiri  untuk bersuara hanyalah titik permulaan dalam menegakkan keadilan dalam sistem yang tidak berpihak pada pemandiri.  Badan organisasi, individu, dan ahli masyarakat yang mengambil berat terhadap para pemandiri mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan nilai-nilai yang melindungi pemandiri, menghentikan penderaan, dan mempertanggungjawabkan para pelaku untuk kelakuan mereka.

 

Ditandatangani,

All Women’s Action Society (AWAM)
Association of Women Lawyers (AWL)
dearHER
Federation of Reproductive Health Associations Malaysia (FRHAM)
FYI KL
Good Sex Ed with June Low
Legal Dignity
MISI: Solidariti
Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
Sisters in Islam (SIS)
SPOT Community Project
Women’s Aid Organisation (WAO)
X Ed Malaysia

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top