Women’s Aid Organisation, Press statement – 4 August 2022 Tabling of Law to #MakeStalkingACrime Welcomed…
Tegakkan Keadilan untuk Mangsa-Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Kuala Lumpur, 20 Januari 2017 — Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menegakkan keadilan bagi mangsa keganasan rumah tangga dan pembunuhan, Nurhidayah A. Ghani. Pada 20 Januari 2017, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan suaminya, Jamaluddin Ali, bersalah bagi pembunuhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagi keluarga Nurhidayah, keputusan ini memberi penutupan kepada suatu proses melelahkan dan berlarutan dalam menuntut keadilan. Jamaluddin telah secara fizikal dan psikologi mendera Nurhidayah selama lebih satu dekad, sejak 2003. Dia berulang kali menghentak kepala mangsa ke dinding, memukul beliau dengan topi keledar dan alat pancing serta mencekiknya. Sejak 2009 hingga 2013, Nurhidayah dan keluarganya telah membuat lebih daripada 10 laporan polis terhadap Jamaluddin.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa gagal bertindak untuk melindungi Nurhidayah daripada pendera kejamnya. Pihak berkuasa enggan memberkas Jamaluddin meskipun dia telah melanggar Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan berulang kali mengancam keselamatan Nurhidayah dan keluarganya.
Masyarakat sekeliling juga gagal membantu dan mereka menganggap keganasan rumah tangga sebagai hal peribadi keluarga. Menurut kakak Nurhidayah, jiran tetangga turut mendengar tangisan terdesak Nurhidayah untuk pertolongan namun mereka tidak mengendahkannya.
Akhirnya, pada 17 Mei 2013 Jamaluddin memecah masuk ke dalam kereta yang dinaiki oleh Nurhidayah dan menghentamnya sehingga mati. Menurut doktor, badan mangsa dipenuhi kesan lebam dan kebanyakan organ dalamannya musnah.
Kami dukacita dengan kesudahan tragis kehidupan Nurhidayah kerana kematiannya boleh dicegah. Jika pihak berkuasa dan masyarakat sekeliling mengambil tindakan, Nurhidayah mungkin masih bersama kita hari ini.
Kita harus sedar bahawa keganasan rumah tangga bukanlah hal peribadi keluarga tetapi adalah satu jenayah dahsyat yang boleh memecahbelahkan keluarga dan mengorbankan nyawa wanita. Akta Keganasan Rumah Tangga menjenayahkan penderaan fizikal, psikologi, seksual, dan kewangan. Kes Nurhidayah mencerminkan realiti jenayah sebenar keganasan rumah tangga.
Jika anda mengenali seseorang mangsa penderaan, hulurkan bantuan. Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau mesej TINA di 018 988 8058. Bersama-samalah kita membendung kisah Nurhidayah daripada berulang lagi.
Comments (0)