Skip to content

Parlimen Perlu Dibuka Segera bagi Membincangkan Reformasi Undang-Undang dan Perancangan Pemulihan Negara

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) menggesa agar Parlimen dibuka dengan segera sejajar dengan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu serta cadangan dari Seed Community for a Professional Parliament.

JAG percaya dengan pembukaan parlimen ini dapat memulihkan demokrasi berparlimen dan bagi membincangkan Pelan Pemulihan Negara agar menjamin kestabilan ekonomi, membendung penularan Covid-19 serta menyelamatkan nyawa kebanyakkan.

Jurang Gender Semakin Ketara Akibat Tidak Ada Kawal Selia terhadap Respon Berasaskan Gender 

Wanita merupakan golongan yang paling terjejas akibat dari penularan pandemik Covid-19 dan memberi kesan yang tidak seimbang dari sudut ekonomi dan sosial. Kesan berasaskan gender dapat dilihat dengan peningkatan kes keganasan berdasarkan gender, akses perlindungan kritikal dan perkhidmatan sokongan yang terhad dan terhalang akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peningkatan bebanan penjagaan tidak berbayar, serta peningkatan tinggi wanita yang berhenti dan yang dihentikan dari tenaga kerja.

Dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membincangkan secara tuntas kesan pandemik yang berlaku dan cara yang terbaik untuk menangani ketaksaksamaan gender melalui perbahasan dan perbincangan di Parlimen.

Tangani segera ketaksaksamaan gender melalui tindakan perundangan di Parlimen dengan;

  1. Luluskan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Gangguan seksual mempengaruhi pemerkasaan ekonomi dan sosial wanita dalam pelbagai sudut. Menurut kajian yang dilakukan oleh YouGov pada tahun 2019, 36% wanita di Malaysia telah mengalami gangguan seksual. Manakala kajian terkini yang dilakukan oleh WAO dan Vase.ai mendapati 62% wanita pernah mengalami satu atau pelbagai bentuk gangguan seksual di tempat kerja.

  1. Pinda Akta Pekerjaan 1955, termasuklah perkenalkan 7 hari cuti paterniti dan perlindungan ke atas pencari kerja (job-seekers)

Akta Pekerjaan 1955 perlu dipinda termasuklah panjangkan cuti bersalin berbayar kepada 98 hari, perlindungan anti-diskriminasi bagi pekerja dan pencari kerja, perlindungan pemberhentian kerja berasaskan kehamilan serta memperkenalkan tujuh hari cuti paterniti dan memberi perlindungan diskriminasi ke atas pencari kerja.

  1. Menjenayahkan Menghendap (“stalking”) di dalam Kanun Keseksaan

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Vase.ai mendapati bahawa lebih dari satu pertiga (36%) rakyat Malaysia pernah dihendap yang mengakibatkan mereka ketakutan dan boleh menyebabkan kecederaan. Hasil tinjauan menunjukkan sokongan dan gesaan yang segera untuk menjenayahkan menghendap dan keperluan untuk memberi perlindungan kepada mangsa/pemandiri.

Selain daripada reformasi undang-undang, JAG berharap agar kerajaan dapat memainkan peranan yang aktif dengan mewujudkan mekanisme rundingan awam rentas kementerian. Terdapat keperluan bagi kerajaan untuk mendengar secara terus mengenai keperluan wanita.

Oleh itu, JAG berharap agar Kerajaan dapat memastikan fungsi dan peranan institusi Parlimen dapat dijalankan secara bebas dan kritikal. Ini untuk memastikan negara mampu menangani krisis Covid-19 dan perancangan pemulihan negara serta reformasi undang-undang dapat dilaksanakan dengan secepatnya.

Disokong oleh ahli organisasi JAG berikut:

  1. All Women’s Action Society (AWAM)
  2. Family Frontiers
  3. Justice for Sisters
  4. KRYSS Network
  5. Perak Women for Women (PWW)
  6. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  7.  Sarawak Women for Women Society (SWWS)
  8.  Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
  9.  Sisters in Islam (SIS)
  10.  Women’s Centre for Change (WCC Penang)
  11.  Women’s Aid Organisation (WAO)

***

Mengenai Joint Action Group for Gender Equality (JAG)

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) merupakan satu pakatan antara 14 pertubuhan hak asasi wanita di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Sejak 1985, kami telah berjuang untuk kesaksamaan gender dan keadilan sosial di Malaysia dalam rangka kerja feminis. Kami memanfaatkan pelbagai kepakaran dan menyuarakan suara wanita bagi meningkatkan kesedaran awam dan berjuang untuk perubahan undang-undang. Kami mengangkat standard hak asasi manusia antarabangsa dalam menggalakkan keadilan, kesaksamaan, dan anti-diskriminasi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Abinaya Mohan di abinaya@wao.org.my  / +6016 665 3237 atau Rusni Tajari di rusnitajari@wao.org.my / +013 380 2287

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top