Skip to content

Bekerjasama dalam menangani masalah keganasan rumah tangga

Women’s Aid Organisation (WAO)

Surat kepada Pengarang, 18 November 2014

 

Untuk maklumat lanjut:

Siti Hazwani Hanim Ramli, Pegawai Advokasi

hazwani.wao@gmail.com

 

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) ialah sebuah badan bukan kerajaan Malaysia yang berjuang untuk hak-hak wanita dan secara khusus terhadap keganasan terhadap wanita. WAO diasaskan pada tahun 1982 dan terus memainkan peranan utama dalam pergerakan hak wanita Malaysia. Ini termasuk penglibatan dalam bidang advokasi, pendidikan awam, undang-undang dan dasar pembaharuan.

Rumah Perlindungan WAO telah diwartakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Rumah perlindungan ini menyediakan tempat yang selamat untuk wanita yang didera dan anak-anak mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada keganasan rumah tangga. Pusat ini juga telah menjadi tempat tinggal bagi pekerja asing yang didera, wanita yang diperdagangkan dan ibu tunggal. Malah, kami juga mempunyai pekerja-pekerja sosial yang profesional untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa. Ini termasuk mengendalikan sesi kaunseling secara individu dan berkumpulan. Secara purata, lebih daripada 100 wanita menggunakan perkhidmatan rumah perlindungan WAO setiap tahun. Bagi tahun 2014, sehingga bulan Oktober 2014, kami telah memberi perlindungan kepada sebanyak 252 perempuan dan kanak-kanak. Oleh itu, keselamatan menjadi  keutamaan kami bagi memastikan wanita-wanita dan anak-anak akan terus dilindungi di bawah bumbung WAO.

PDRM bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang, memastikan keselamatan dan memberi perlindungan kepada rakyat. Oleh itu, memang tidak boleh disangkal bahawa peranan pihak polis dalam mengendalikan kes keganasan domestik rumah tangga tidak jauh bezanya daripada falsafah WAO, iaitu untuk melindungi keselamatan mangsa-mangsa.

Mengimbas semula pengalaman kami bersama pihak polis, memang tidak boleh dinafikan bahawa hubungan dua pihak ada cabarannya. Ini boleh dibuktikan dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini dimana pihak polis telah membawa seorang suami yang dipercayai telah mendera isterinya ke rumah perlindungan WAO dan secara keras, menuntut untuk membenarkan mereka ke dalam rumah selamat kami bagi mencari isterinya.

Kami berharap agar pihak polis, dalam mengendali situasi kes seperti ini, di mana laporan kes hilang telah dibuat oleh para suami, untuk menyelidik dan menyiasat samada laporan telah dibuat oleh isteri tersebut terhadap suami mereka. Di samping itu, jika pihak polis ingin mengesahkan sama ada individu yang hilang tersebut adalah selamat dan mungkin berada di rumah WAO, mereka perlu terlebih dahulu memaklumkan kepada salah seorang pekerja sosial kami untuk bertemu dengan mereka di balai polis. Pihak polis tidak sepatutnya datang ke tempat perlindungan kami tanpa notis kerana kehadiran mereka boleh menimbulkan rasa gelisah di kalangan klien WAO, lebih-lebih lagi apabila polis membawa pihak ketiga. Oleh itu, ingin kami menekankan bahawa pihak polis atau mana-mana pihak lain tidak boleh mendedahkan lokasi tempat perlindungan kami.

Sebagai pembekal perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga yang terbesar di negara ini, keutamaan WAO adalah untuk memastikan keselamatan klien kami dan untuk menyediakan tempat yang selamat bagi mangsa-mangsa penderaan. Namun begitu, WAO sedar bahawa kami tidak boleh mencapai misi ini tanpa bantuan pihak lain. Oleh itu, WAO telah mengambil langkah positif dengan memaklumkan kejadian ini kepada pihak polis dan juga meminta untuk mengendalikan mesyuarat dan berbincang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Kami percaya bahawa dialog adalah cara terbaik untuk meningkatkan kesefahaman antara satu sama lain.

Kami percaya dan yakin berdasarkan pengalaman yang lepas bahawa pihak polis boleh memenuhi tanggungjawab mereka untuk memberi perlindungan. Sepanjang penubuhan WAO, kami telah bekerjasama dan juga meminta bantuan pihak polis untuk melindungi rumah perlindungan kami. Pihak polis sering bertindak dengan segera apablia kami meminta bantuan. Dalam usaha kami untuk menghapuskan keganasan rumah tangga di Malaysia, WAO akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hubungan dan kerjasama antara kami dengan pihak polis.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan perkhidmatan rumah perlindungan sementara, kaunseling dan kerja sosial bagi mangsa keganasan rumah tangga dan mengadvokasikan hak asasi wanita. Sila hubungi talian kaunseling kami di 03 7956 3488 atau SMS TINA di 018 988 8058 jika anda atau seseorang yang anda kenal sedang mengalami penderaan. Bersama-sama, kita mengubah kehidupan.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top