Skip to content

Diskriminasi terhadap Wanita Mengandung Masih Lazim di Tempat Kerja di Malaysia

Kaji Selidik Diskriminasi di Tempat Kerja oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita meninjau pendapat wanita dari seluruh Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak wanita mengandung di tempat kerja mereka

Menurut Kaji Selidik Diskriminasi di Tempat Kerja oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation, WAO), lebih 40% daripada wanita yang ditinjau pernah mengalami diskriminasi pekerjaan kerana kehamilan mereka. Kaji selidik dalam talian meninjau pendapat seramai 222 orang wanita dari seluruh Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang diskriminasi di tempat kerja terhadap wanita hamil. Kaji selidik mendedahkan lima cara yang kerap majikan lakukan dalam mendiskriminasikan wanita hamil, termasuk menjadikan kedudukan mereka dalam organisasi sebagai tidak releven, menafikan kenaikan pangkat, meletakkan mereka dalam tempoh percubaan yang panjang, menurunkan pangkat, dan menamatkan pekerjaan mereka.

WAO melancarkan kaji selidik tersebut untuk menekankan rasa hormat, serta melindungi dan memberi hak sama rata kepada wanita di tempat kerja, khususnya untuk ibu-ibu mengandung.

“Seorang wanita hendaklah bebas untuk memilih jika dan bila mereka mahu mempunyai anak. Mereka tidak perlu takut kehilangan pekerjaan hanya kerana mahu memiliki keluarga sendiri. Pembuat dasar di Malaysia perlu memastikan majikan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap wanita hamil. Memberhentikan, menurunkan pangkat, atau tidak menggaji atau menaikkan pangkat seseorang wanita bekerja kerana hamil adalah diskriminasi gender,” kata Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif WAO.

“Perlembagaan Persekutuan kita dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women, CEDAW) melarang diskriminasi gender. Apabila majikan menghukum wanita semata-mata kerana mereka mahu melahirkan anak, mereka telah melanggar hak-hak asasi wanita. Secara khusus, wanita mempunyai hak untuk mempunyai keluarga, hak untuk bekerja, dan hak untuk mendapat penilaian dan ganjaran yang sewajarnya,” sambung Sumitra.

Menurut kaji selidik itu, majikan turut mendiskriminasikan wanita hamil dengan soalan-soalan yang ditanyakan semasa proses permohonan kerja. Hampir 40% daripada wanita yang ditinjau telah ditanya oleh penemu ramah sama ada mereka sedang hamil atau merancang untuk hamil dalam masa terdekat. Menanyakan soalan mengenai status perkahwinan, status kehamilan atau perancangan untuk hamil, orientasi seksual atau umur, semasa proses permohonan kerja merupakan satu bentuk diskriminasi oleh bakal majikan.

Kaji selidik mendedahkan bahawa kira-kira 20% daripada wanita ditolak permohonan kerja mereka atau tawaran kerja dibatalkan selepas mendedahkan tentang kehamilan mereka. Keputusan kajian juga menunjukkan bahawa 30% daripada wanita akan melambatkan perancangan untuk hamil kerana mereka takut kehilangan pekerjaan atau peluang kenaikan pangkat.

“Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang melarang soalan-soalan temu duga yang berbaur diskriminasi. Sudah tiba masanya kita melaksanakan undang-undang tersebut. Negara-negara seperti Amerika Syarikat mengamalkan Akta Diskriminasi Kehamilan (Pregnancy Discrimination Act, PDA) untuk melindungi hak-hak wanita di tempat kerja. Akta ini memastikan majikan melayani wanita hamil dengan cara yang sama seperti pekerja lain dengan kebolehan atau ketidakupayaan yang sama. PDA juga melarang majikan daripada mendiskriminasikan wanita mengandung daripada segi gaji, tugasan kerja, kenaikan pangkat, pemberhentian, latihan, dan sebagainya. Malaysia perlu berusaha ke arah ini. Kesedaran adalah permulaan dan akhirnya membawa kepada kewujudan undang-undang,” tambah Sumitra.

Apa yang lebih membimbangkan, hanya kira-kira 1 daripada 8 wanita   tampil membuat aduan setelah kehilangan pekerjaan atau kenaikan pangkat akibat kehamilan. Menurut Sumitra, ini adalah satu isu kerana ramai wanita tidak tahu hak-hak mereka. Mereka mungkin tidak tahu tentang platform yang disediakan untuk menuntut keadilan. Dan walaupun mereka ada kesedaran, mereka mungkin takut akibat tindak balas dan gangguan kerana menyuarakan hak mereka.

Pada masa ini, jika majikan memberhentikan seorang wanita kerana hamil, mangsa boleh membuat aduan pemecatan yang tidak adil kepada jabatan sumber manusia di tempat kerja mereka atau di Pejabat Perhubungan Industri. Pejabat Perhubungan Industri  boleh membawa kes ke Mahkamah Perusahaan. Wanita tersebut boleh mendapatkan keadilan di bawah Akta Kerja 1955 jika mereka tidak menerima apa-apa faedah yang berkaitan dengan bersalin yang dijamin oleh Akta berkenaan. Jika majikan tidak memberi layanan yang adil kepada wanita di tempat kerja, mereka boleh memilih untuk meninggalkan pekerjaan dan menuntut pemberhentian kerja.  Perlindungan undang-undang pada masa ini tidak mencukupi. Kedua-dua Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 tidak memberikan perlindungan yang secukupnya. Tidak ada undang-undang khusus yang melarang diskriminasi terhadap wanita di tempat kerja.

“Walaupun Malaysia meratifikasi CEDAW pada tahun 1995, Malaysia masih belum lagi melaksanakan kebanyakan unsur konvensyen ke dalam undang-undang domestik.  Maka pada masa ini tidak ada cara untuk menguatkuasakan peruntukan-peruntukan ini di Malaysia. Terdapat kes-kes mahkamah yang memutuskan peruntukan kesaksamaan dalam artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan, namum ia hanya dikuatkuasa untuk kakitangan sektor awam. Kami masih belum melihat apa-apa kemajuan legislatif dalam sektor swasta. Kita memerlukan satu Akta Kesaksamaan Jantina yang akan melindungi semua pekerja wanita, termasuk di sektor swasta. Kaji Selidik Diskriminasi di Tempat Kerja merupakan salah satu daripada pelbagai cara WAO menyokong kesaksamaan gender, dan kami akan meneruskan usaha kami.” kata Sumitra.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top