Skip to content

Kekurangan Akses UNHCR di Pusat Tahanan dan Pencabulan Hak Asasi Kanak-Kanak dan Wanita Menggariskan Keperluan untuk Membaikpulih Rangka Kerja Malaysia ke atas Pelarian

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengambil perhatian atas laporan oleh Agensi Pelarian PBB (UNHCR) yang tidak dibenarkan untuk melawat pusat-pusat tahanan imigresen sejak tahun 2019, serta penahanan wanita dan kanak-kanak di pusat-pusat tahanan ini, termasuklah dengan keadaan yang mencabuli hak asasi manusia mereka dan menyumbang kepada kes-kes keganasan berasaskan seksual dan gender (SGBV).

Berdasarkan laporan terkini, kerajaan telah menolak kemasukan UNHCR ke pusat-pusat tahanan sejak lebih setahun lalu. Lawatan ini amat penting bagi membolehkan UNHCR mengenalpasti pelarian, yang tidak sepatutnya ditahan di pusat-pusat tahanan. Dengan ketidakupayaan UNHCR untuk memasuki pusat-pusat tahanan ini menyebabkan kurangnya pemerhatian ke atas keadaan pusat-pusat tahanan.

WAO juga memandang serius bilangan kanak-kanak yang berada dalam tahanan – 756- menurut jawapan bertulis oleh Menteri Dalam Negeri kepada soalan oleh Ahli Parlimen, Wong Shu Qi. Seperti mana yang telah dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara minggu lepas, pusat-pusat tahanan ini adalah”tidak sesuai atau kondusif” bagi kanak-kanak.

Kerajaan harus bertindak untuk membaik pulih secara komprehensif rangka kerja undang-undang berkenaan pelarian dan pencari suaka sepertimana saranan oleh Jawatankuasa PBB dalam Penghapusan Ke Atas Segala Bentuk Diskriminasi Ke Atas Wanita (Jawatankuasa CEDAW) – termasuklah untuk mewujudkan alternatif kepada tahanan wanita dan kanak-kanak dan sementara itu melaksanakan langkah-langkah dalam mengurangkan risiko SGBV.

Pelarian wanita dan kanak-kanak berhadapan dengan risiko SGBV yang tinggi

Dalam Pemerhatian Rumus ke atas Malaysia pada tahun 2018, Jawatankuasa CEDAW menyatakan kegusaran mereka mengenai kekurangan rangka kerja untuk melindungi dan menormalkan status pencari suaka dan pelarian di Malaysia dalam keadaaan mereka terdedah kepada risiko pencabulan hak asasi manusia, termasuklah penahanan dan penangkapan secara sewenang-wenangnya, eksploitasi, keganasan berasaskan seksual dan gender, di pusat-pusat tahanan, selain akses yang terhad kepada pasaran kerja tempatan, pendidikan, kesihatan, perkhidmatan sosial dan bantuan undang-undang.

Saranan Umum 32 oleh Jawatankuasa CEDAW menggariskan keperluan pendekatan sensitif gender dilaksanakan di setiap peringkat dalam proses mendapatkan perlindungan. Ini termasuklah mengambil kira keperluan khusus pemandiri SGBV dan juga kumpulan wanita dan kanak-kanak yang berisiko, seperti menyediakan kemudahan selamat dan akses kepada keperluan kebersihan dan penjagaan kesihatan asas. Berdasarkan maklumat dalam laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bagi pelarian yang ditahan oleh kerajaan, piawaian ini tidak dipenuhi, dan kanak-kanak perempuan di pusat tahanan berisiko tinggi berhadapan dengan SGBV.

Antara keadaan-keadaan di pusat-pusat tahanan yang menyumbang kepada risiko SGBV ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan adalah kekurangan ruang yang selamat bagi wanita dan kanak-kanak perempuan termasuklah ruang untuk temuramah peribadi bersama penyedia perkhidmatan; kekurangan sokongan psikososial, kekurangan penterjemah, termasuklah penterjemah wanita, yang akan melambatkan akses kepada bantuan. Tambahan lagi, isu-isu praktikal seperti tempat tahanan yang berdekatan, kekurangan katil, dan jarak yang terhad antara lelaki dan wanita telah meningkatkan  lagi risiko SGBV. Bagi kanak-kanak lelaki, risiko SGBV turut meningkat oleh kerana kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke atas akan ditempatkan bersama lelaki dewasa.

Wanita dan kanak-kanak tidak sepatutnya ditahan di pusat-pusat tahanan menurut piawaian hak asasi manusia antarabangsa

Apabila melibatkan kanak-kanak, piawaian hak asasi manusia antarabangsa, termasuklah tertulis di dalam Konvensyen Hak-Hak Kanak-Kanak (CRC)- yang mana Malaysia adalah pihak yang menandatangani – dinyatakan dengan tegas bahawa pusat tahanan haruslah menjadi pilihan yang terakhir dan ianya merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi kanak-kanak. Komen umum bersama antara Jawatankuasa CRC dan juga Jawatankuasa Perlindungan Hak-Hak Pekerja Migran dan Members of Their Families telah menyatakan dengan jelas bahawa tahanan imigresen dan juga tindakan memintas pelarian dan pencari suaka adalah satu bentuk pencabulan hak asasi kanak-kanak.

Di bawah CRC, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan seseorang kanak-kanak yang merupakan pelarian menerima perlindungan dan bantuan kemanusiaan. Artikel 37 CRC menyatakan penangkapan dan penahanan seseorang kanak-kanak hanya boleh dilakukan “sebagai pilihan terakhir dan untuk jangka masa yang paling singkat.” Tambahan lagi, Artikel 22 menyatakan tanggungjawab untuk memastikan seseorang kanak-kanak yang melarikan diri atau berstatus pelarian, sama ada ditemani atau tidak ditemani, perlu diberi perlindungan yang sewajarnya dan juga bantuan kemanusiaan.

Jawatankuasa CEDAW juga dalam Pemerhatian Rumus pada tahun 2018 kepada Malaysia menyarankan kerajaan, “mewujudkan alternatif kepada tahanan bagi pencari suaka dan pelarian wanita dan kanak-kanak perempuan, dan pada masa yang sama mengambil pendekatan tegas dalam memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan yang ditahan dilindungi dari sebarang bentuk keganasan berasaskan gender.”

Kerajaan perlu melaksanakan rangka kerja undang-undang komprehensif bagi pelarian dan pencari suaka selaras dengan Saranan Jawatankuasa CEDAW

Keengganan Malaysia untuk mengiktiraf pelarian – dan juga kekurangan rangka kerja undang-undang yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia bagi pelarian telah menyebabkan pelbagai pencabulan hak asasi mereka telah berlaku.

Dalam Pemerhatian Rumus 2018 ke atas Malaysia, Jawatankuasa CEDAW menyarankan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan prosedur bagi pencari suaka dan pelarian yang selaras dengan piawaian antarabangsa. Ini bermakna Malaysia perlu menghormati prinsip “non-refoulement” (melarang mana-mana negara daripada memaksa pelarian dan pencari suaka untuk kembali ke negara di mana mereka akan berhadapan dengan bahaya), serta memberikan pelarian hak untuk bekerja; mewujudkan alternatif kepada pusat tahanan; dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan SGBV daripada berlaku ke atas pelarian wanita dan kanak-kanak.

Dua tahun sejak saranan ini dibuat, masih tiada langkah-langkah tegas diambil ke arah pelaksanaannya dan untuk memenuhi tanggungjawab di bawah CEDAW. Tahun lepas, kerajaan dijangka akan memulakan projek rintis program percubaan alternatif pusat tahanan, yang mana jika berjaya, akan membolehkan ratusan kanak-kanak dipindahkan keluar daripada pusat-pusat tahanan di seluruh negara. Walaubagaimanapun, projek ini masih lagi belum dimulakan.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Head of Campaigns
natasha@wao.org.my

Jan Li Yuen, Advocacy Officer
jan@wao.org.my/ +60 12-622 5983

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top