Skip to content

Langkah seterusnya selepas Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial

Berikutan pertukaran kerajaan persekutuan, Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sedia ada telah dibubarkan, termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita. Kami kecewa apabila mendapat tahu bahawa jawatankuasa berkenaan gender mahupun wanita bukan antara jawatankuasa baru yang dicadangkan untuk dibentuk, berikutan pembubaran jawatankuasa-jawatankuasa lama.

Namun, berikutan permohonan daripada YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang) dan sokongan dari orang ramai, Jawatankuasa Dewan telah kemudiannya setuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baru iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial. Kami mendapat maklumat ini menerusi laman sosial Facebook YB Alice Lau.

Langkah ini dilihat sebagai satu langkah yang progresif dalam memastikan sistem dan undang-undang yang melindungi hak dan martabat wanita diangkat melalui reformasi Parlimen.

Dengan ini, kami mencadangkan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang bakal menganggotai Jawatankuasa ini, beberapa reformasi undang-undang untuk diutamakan:

  • Luluskan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual
    Gangguan seksual boleh mempengaruhi pemerkasaan ekonomi wanita dalam pelbagai sudut. Daripada memberi kesan kepada status pekerjaan, pemilihan atau kenaikan pangkat, kepada merencatkan pendidikan dan kehidupan sosial. Menurut satu kajian tahun 2019 oleh YouGov, 36% wanita dan 17% lelaki di Malaysia telah mengalami gangguan seksual. 

    Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen lewat tahun ini merupakan satu langkah kritikal ke arah menangani gangguan seksual yang berlaku dan memastikan mangsa mendapat akses perlindungan, dan menggalakkan majikan untuk mengambil pendirian yang proaktif dalam mencegah gangguan seksual  serta memerangi normalisasinya dalam masyarakat.

  • Menjenayahkan Menghendap (“stalking”) di dalam Kanun Keseksaan
    Menghendap bukanlah satu jenayah di Malaysia, bermakna sekiranya seseorang berulang kali menghubungi, mengekori, atau muncul di tempat kerja anda secara kerap, (tindakan yang menjadi kebiasaan penghendap) tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa. Pengkaji di Universiti Toronto telah mendapati bahawa menghendap boleh membawa kepada gangguan mental kepada mangsa, termasuklah kegelisahan, tekanan, dan simptom gangguan tekanan selepas trauma. Menghendap juga boleh membawa kepada tahap kaganasan yang lebih teruk. Di Kanada dan Amerika Syarikat, 90 peratus wanita telah dibunuh oleh pasangan yang pernah menghendap mereka.

    Undang-undang anti-menghendap akan melindungi wanita daripada gangguan di atas talian dan fizikal, termasuklah pelbagai bentuk keganasan siber berasaskan gender seperti gangguan, intipan, dan “doxing” yang akhirnya akan membolehkan perintah perlindungan dikeluarkan untuk mangsa. 
  • Pinda Akta Kerja, masukkan 7 hari cuti paterniti dan perlindungan diskriminasi ke atas pencari kerja
    Pindaan ke atas Akta Kerja yang telah diberikan perhatian oleh Kementerian Sumber Manusia untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun ini termasuklah pengenalan tiga hari cuti paterniti, melanjutkan cuti bersalin berbayar kepada 90 hari, membolehkan permohonan waktu bekerja fleksibel, dan juga pengenalan kepada perlindungan anti-diskriminasi atas dasar gender, bangsa, ketidakupayaan dan agama ke atas pekerja.

    WAO telah menggesa kerajaan untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti berbayar kepada bapa yang bekerja di sektor swasta. Tiga hari, sepertimana yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia, adalah tidak mencukupi. Cuti paterniti berbayar selama tujuh hari akan memberi mesej bahawa penjagaan anak adalah tanggungjawab bersama, lantas membolehkan bapa memainkan peranan yang aktif apabila bayi dilahirkan. Ini juga didapati boleh mengurangkan jurang gaji antara gender di dalam sesebuah isi rumah.

    Tambahan lagi, peruntukan anti-diskriminasi yang telah dicadangkan haruslah merangkumi pencari pekerjaan (job-seekers). Setakat ini, Kementerian Sumber Manusia tidak bercadang untuk melindungi pencari pekerjaan dalam Akta Kerja, walaupun cadangan ini disokong oleh pelbagai pihak termasuk kesatuan pekerja, NGO-NGO, SUHAKAM, para peguam termasuk bekas pengerusi Majlis Peguam, dan pihak lain. Setelah pandemik COVID-19 berlaku, wanita semakin terbeban dengan bebanan penjagaan tidak berbayar dan terpaksa untuk mengimbangi tanggungjawab peribadi dan profesional. Tanpa perlindungan kepada pencari pekerjaan terhadap diskriminasi berasaskan gender dan kehamilan, ramai wanita yang sedang mencari pekerjaan akan dikesampingkan daripada pasaran kerja.
  • Akta Kesaksamaan Gender
    Undang-undang Kesaksamaan Gender juga dalam proses penggubalan oleh kerajaan, bersama dengan NGO. Akta Kesaksamaan secara komprehensif akan melindungi wanita dari diskriminasi – tidak hanya di tempat kerja tetapi juga di ruang awam. Ini juga akan memberi mandat kepada kerajaan untuk mengambil langkah yang proaktif bagi mempercepatkan kesetaraan gender. Penggubalan akta tidak seharusya ditangguh lagi jika ingin mewujudkan sebuah Malaysia di mana wanita mampu berkembang dan terus maju.

Pembentukan lapan Jawatankuasa Pilihan Khas adalah langkah positif dalam pembaharuan Parlimen. Fungsi jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan diharapkan dapat dilaksanakan agar mampu meningkatkan penggubalan polisi yang akhirnya bermanfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Akhir sekali, kami menggesa Dewan Rakyat untuk membentuk kesemua lapan Jawatankuasa Pilihan Khas secepat mungkin iaitu pada sesi Sidang Dewan Rakyat yang bermula pada November 2020 akan datang.

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan wanita telah menyediakan rumah perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumahtangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di talian 03 7956 3488 atau SMS/Whatsapp TINA di talian 018 988 8058 jika anda atau kenalan anda sedang mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, lawati https://wao.org.my

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer

rusnitajari@wao.org.my / 60133802287

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top