Skip to content

Laporkan Kes Dera Seksual Kanak-Kanak Tanpa Takut

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menggugurkan pertuduhan membuat laporan palsu terhadap seorang ibu berhubung dakwaan anaknya didera secara seksual. Menurut WAO, keputusan ini penting bagi memastikan orang ramai tidak terhalang daripada membuat laporan berhubung penderaan seksual kanak-kanak.

Pada hari Isnin, Timbalan Pendakwa Raya menggugurkan pertuduhan “membuat laporan palsu” terhadap  ibu tersebut sewaktu prosiding di Mahkamah Majistret Shah Alam. Beliau dituduh pada April 2018 mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang beliau buat mendakwa bahawa anaknya telah didera secara seksual.

“Pengguguran pertuduhan ini menyebarluaskan mesej bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab  bersama untuk melaporkan penderaan seksual kanak-kanak – dan sepatutnya kita tidak harus dicengkam oleh sebarang rasa takut akan pertuduhan laporan palsu susulan laporan yang kita buat”, begitu menurut Pengarah Eksekutif WAO, Cik Sumitra Visvanathan.

“Buat laporan polis jika anda berasa syak bahawa ada kanak-kanak yang telah didera. Nyawa kanak-kanak itu mungkin dalam bahaya. Seharusnya, tumpuan kita yang paling utama ialah kebajikan kanak-kanak tersebut.”

“Laporan polis yang dibuat atas dasar keprihatinan yang jujur tidak boleh sama sekali disusuli pertuduhan membuat laporan palsu. Bahkan, kita perlu melaporkannya, dan jika tidak, kita sebenarnya mempertaruhkan kewibawaan perundangan negara.”

Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membolehkan sesiapa sahaja melaporkan kes penderaan seksual kanak-kanak kepada polis sekiranya mengesyaki ada kes terbabit. Malah, kegagalan melaporkan kes yang berlaku merupakan suatu kesalahan.

Dalam pada itu, Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan ibubapa, pegawai perubatan dan penjaga kanak-kanak melaporkan penderaan kanak-kanak kepada jabatan kebajikan masyarakat.

“Kesalahan penderaan seksual kanak-kanak kerap didiamkan sahaja, bahkan tidak dilaporkan.  Pengguguran pertuduhan ini sewajarnya membangkitkan kesedaran lebih ramai individu untuk tampil melaporkan kes-kes seumpama ini,” tambah Sumitra lagi.

“Apabila kita melaporkan kes penderaan seksual kanak-kanak, kita sebenarnya menggunakan proses sedia ada untuk melindungi kanak-kanak kita. Serentak dengan itu, kita mencetuskan kesedaran masyarakat bahawa kita sama sekali tidak akan bertolak ansur membabitkan penderaan seksual dalam masyarakat.”

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top