skip to Main Content

Pelarian wanita di Malaysia berdepan dengan peningkatan risiko keganasan berasaskan gender, serta mengalami akses yang terhad kepada perlindungan dan keadilan

Pelarian Wanita Di Malaysia Berdepan Dengan Peningkatan Risiko Keganasan Berasaskan Gender, Serta Mengalami Akses Yang Terhad Kepada Perlindungan Dan Keadilan

Pelarian wanita di Malaysia berdepan dengan risiko seksual dan keganasan berasaskan gender (SGBV) akibat dari kekurangan status undang-undang dalam negara, normalisasi kekerasan ke atas komuniti pelarian, dan tidak dapat akses mekanisme perlindungan dan keadilan, yang mana kesemua ini diburukkan lagi xenopobia terhadap pelarian.

Berdasarkan pengalaman pelarian wanita yang dibantu oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), ringkasan dasar terbaru WAO, “Seksual dan Keganasan Berasaskan Gender (SGBV) dalam kalangan Komuniti Pelarian di Malaysia”, meneroka mengenai kelaziman SGBV dalam kalangan komunti pelarian dan halangan yang dihadapi oleh pelarian wanita bagi memohon pertolongan dan akses kepada keadilan dan perlindungan. 

Pelarian wanita berisiko kepada SGBV disebabkan oleh kekurangan status undang-undang

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan juga tidak mempunyai kerangka yang komprehensif untuk pelarian dan pencari suaka. Oleh itu, pelarian di malaysia — termasuklah yang telah berdaftar dengan Agensi Pelarian UN (UNHCR) — masih dianggap sebagai pendatang tanpa izin.

Disebabkan tidak mempunyai status undang-undang pelarian di Malaysia — termasuk juga kurangnya hak untuk bekerja — kebanyakan pelarian didorong untuk bekerja dalam sektor tidak formal dan tidak adaperlindungan dari penganiayaan dari majikan mereka, seperti waktu bekerja yang tidak berperikemanusian atau sekatan gaji. 

Pelarian wanita secara khususnya berisiko dengan SGBV dan gangguan seksual dilakukan oleh majikan mereka. Walaupun begitu, ramai di antara mereka takut untuk melaporkan kekerasan dan gangguan yang berlaku kepada pihak polis kerana berisiko untuk ditangkap dan ditahan. 

Selain itu, kurangnya pengiktirafan undang-undang dan hak untuk bekerja juga mengakibatkan kebergantungan ekonomi pelarian wanita terhadap pasangan mereka, menjadikan mereka bukan sahaja lebih terdedah kepada keganasan rumah tangga, tetapi lebih menyukarkan mereka untuk melarikan diri. 

Keganasan terhadap komunti pelarian dinormalisasikan, menyumbang kepada SGBV

Berdasarkan pengalaman pelarian wanita yang dikongsi dengan WAO, sikap patriaki yang telah mengakar, amalan dan norma sosial juga turut menyumbang kepada budaya di mana SGBV bukan sahaja telah dianggap sebagai biasa tetapi diterima.

Dalam bengkel yang djalankan oleh WAO bersama dengan wanita Rohingya, para peserta berkongsi pengalaman bahawa seorang suami berkuasa ke atas isteri mereka, sementara di bengkel yang lain bersama dengan wanita Somali, peserta menyatakan bahawa wanita harus bersabar dengan lelaki, dan sekiranya suami memukul isteri, itu adalah sesuatu yang dijangkakan. 

Norma budaya seperti itu telah menyukarkan pelarian wanita untuk memohon pertolongan, apatah lagi apabila masyarakat juga telah menormalisasikan SGBV dan tidak menggalakkan wanita untuk melaporkan sebarang keganasan yang berlaku.      

Pelarian wanita mempunyai akses yang terhad kepada      mekanisme perlindungan dan keadilan serta perkhidmatan sokongan SGBV

Bukan sahaja pelarian wanita yang berisiko tinggi terhadap SGBV, dalam masa yang sama mereka juga berdepan dengan banyak halangan untuk mengakses perlindungan dan keadilan yang ada di bawah undang-undang.

Walaupun dalam beberapa kes, pelarian wanita sendiri yang enggan untuk ke balai polis dan membuat laporan berkenaan dengan keganasan yang dihadapi kerana takut ditangkap atau ditahan, namun dalam beberapa keadaan apabila mereka membuat laporan polis, pengalaman itu menguatkan ketakutan mereka. 

Dalam satu kes seorang wanita Rohingya yang dibantu oleh WAO pada tahun 2020, apabila dia pergi ke balai polis untuk membuat laporan mengenai SGBV, dia telah ditahan oleh pihak polis kerana status imigrasinya dan telah dinafikan hak untuk membuat laporan polis. 

Halangan lain untuk akses perlindungan dan keadilan oleh pelarian wanita yang terselamat oleh SGBV termasuklah tempat perlindungan yang terhad yang khusus dalam SGBV dan yang boleh menerima bukan warganegara dan tidak memerlukan laporan polis untuk diterima masuk. 

Bahasa juga merupakan halangan yang menghambat dalam konteks hotline krisis seperti Talian Kasih, dan juga di balai bolis, pejabat kebajikan, dan mahkamah, yang menambah kesulitan untuk pelarian wanita yang berusaha untuk keluar dari situasi keganasan.

Pelarian wanita berdepan dengan akses yang terhad kepada pekhidmatan kesihatan bagi SGBV

Selain daripada kesulitan akses mekanisme kepada perlindungan dan keadilan, pelarian wanita juga berdepan dengan masalah akses kepada rawatan perubatan bagi SGBV.

Walaupun di One Stop Crisis Centres (OSCC), yang bertujuan untuk menggabungkan akses kepada mangsa SGBV kepada perkhidmatan rawatan dan sokongan sosial serta sekaligus mampu untuk membantu melaporkan kepada pihak polis, garis panduan hospital yang berbeza menghasilkan syarat kemasukan yang tidak konsisten.

Sebagai contoh, walaupun membuat laporan polis bukanlah prasyarat untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan perubatan di OSCC, namun beberapa hospital masih mengenakan syarat seperti itu: di beberapa hospital, mangsa yang enggan membuat laporan polis tidak diberikan rawatan perubatan atau tidak boleh berjumpa dengan doktor melainkan pembayaran untuk mendapatkan rawatan perubatan dibuat terlebih dahulu. 

Selain itu, pelarian wanita dikenakan kadar bayaran rawatan ‘warga asing’ yang jauh lebih tinggi. Walaupun UNHCR dan Kementerian Kesihatan telah bersetuju untuk memberikan potongan 50% bagi pelarian berdaftar dengan kad UNHCR, bayaran ini masih melarang kebanyakkan pelarian wanita untuk mendapatkan rawatan, terutamanya apabila mereka tidak berkemampuan untuk bekerja dan mempunyai kebergantungan ekonomi terhadap pasangan yang abusif.

Xenophobia memburkkan lagi SGBV terhadap pelarian wanita dan menghalang untuk meminta pertolongan

Risiko SGBV yang tinggi terhadap pelarian wanita dan halangan untuk mendapatkan pertolongan telah diburukkan lagi dengan budaya xenofobia dan sikap tidak bertoleransi yang tinggi terhadap pelarian di Malaysia. Sikap rasis dari pihak polis, ahli politik, dan juga masyarakat baik secara peribadi dan atas talian menjadikan ianya satu halangan bagi pelarian wanita untuk mendapatkan pertolongan.

Secara keseluruhannya, WAO mencadangan 11 cadangan polisi dalam ringkasan dasar yang sesuai dengan lima poin utama di atas, termasuklah untuk menerapkan kerangka undang-undang yang komprehensif untuk pelarian dan pencari suaka dan memberi mereka hak untuk bekerja, sekaligus akan mengurangkan kerentanan pelarian wanita kepada SGBV dan juga membantu mengintegrasikan pelarian ke dalam masyarakat Malaysia. 

Ringkasan dasar yang lengkap boleh didapati di laman web WAO di: link. Ringkasan dasar WAO dan kerja bersama dengan mangsa SGBV daripada komuniti pelarian telah disokong oleh UNCHR. 

###

Mengenai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sejak tahun 1982, Pertubuhan Pertolongan Wanita telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. Kami membantu wanita dan anak-anak mereka membina semula hidup yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan, dan pelbagai penganiayaan lain. Pengajaran daripada pengalaman wanita-wanita yang tidak bernasib baik ini, kami ingin membela nasib mereka dengan menambah baik polisi awam dan mengubah cara berfikir masyarakat. Bersama, kita mengubah kehidupan.

Hubungi Hotline WAO di 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali mengalami penderaan. Untuk maklumat lanjut, layari wao.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Natasha Dandavati, Head of Campaigns

natasha@wao.org.my 

Rusni Tajari, Senior Advocacy Officer
rusnitajari@wao.org.my/ 60133802287

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Back To Top