Skip to content

Tetapkan batas waktu untuk pembentangan Akta Kesamarataan Gender

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan untuk menetapkan batas waktu untuk pembentangan Akta Kesamarataan Gender yang bertujuan melindungi wanita daripada diskriminasi gender.

“Kerajaan mesti menetapkan batas waktu untuk membentangkan Akta Kesamarataan Gender di Parlimen. Kami mahukan komitmen yang tegas dan bukan sekadar kata-kata semata-mata,” kata Meera Samanther, Naib Presiden WAO.

Pada November 2016, Y.B. Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan di Parlimen bahawa kementerian beliau sedang bekerja bagi mengusulkan Akta Kesamarataan Gender.

“WAO dan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) telah bekerjasama dengan kerajaan untuk merangka Akta Kesamarataan Gender. Kini kami mahu mengetahui apakah langkah selanjutnya – dan bila ia akan berlaku,” tambah Meera.

“Akta Kesamarataan Gender sangat diperlukan lebih-lebih lagi kerana wanita yang berada di sektor swasta tidak dilindungi daripada diskriminasi gender.”

“Apabila wanita didiskriminasikan di tempat kerja, mereka mempunyai sedikit atau tiada pilihan langsung untuk memperoleh keadilan. Ramai yang menderita dalam diam, meninggalkan pekerjaan mereka, atau didesak untuk meletak jawatan. Akta Kesamarataan Gender akan mengubah situasi ini.”

“Akta tersebut harus bukan sahaja melarang diskriminasi gender, tetapi juga memastikan wanita yang mengalami diskriminasi boleh memperoleh keadilan dengan mudah — tanpa perlu menjalani proses yang panjang, meletihkan, dan mahal.”

“Malaysia juga mempunyai kewajipan antarabangsa untuk menggubal Akta Kesamarataan Gender. Akta ini penting untuk memastikan kesamarataan gender di Malaysia.”

Pada 2006, Jawatankuasa CEDAW Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menggesa Malaysia untuk menggubal Akta Kesamarataan Gender. Dan pada 2018, jawatankuasa PBB sekali lagi menekankan panggilan ini.

“Wanita Malaysia telah menunggu selama 12 tahun – dan kami tidak akan menunggu lagi. Ini adalah masa untuk kita bertindak – untuk kesamarataan gender dan untuk melindungi ramai wanita yang telah menderita selama ini,” kata Meera.

CEDAW adalah ‘Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita’ yang ditandatangani Malaysia pada 1995.

“Apa tujuan menandatangani Konvensyen tetapi tidak menyerapkannya ke dalam undang-undang Malaysia untuk melindungi wanita?” kata Meera. WAO baru-baru ini melancarkan kempen ‘Wanita Tersisih’ (Invisible Women), iaitu satu panggilan terhadap orang ramai untuk bersuara terhadap diskriminasi gender dan menyokong Akta Kesamarataan Gender.

Pameran seni ‘Wanita Tersisih’ yang menonjolkan kisah-kisah wanita yang mengalami diskriminasi gender akan berlangsung dari 8-18 Mac 2018, 10 pagi – 10 malam di White Box Theatre, Publika.

Untuk maklumat lanjut, layari invisiblewomen.com.my.

###

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top