Skip to content

WAO melancarkan laporan kajian kes mengenai pemerdagangan manusia bagi mendidik pihak berkepentingan dan menekankan jurang dalam undang-undang, dasar, dan tindak balas

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melancarkan laporan kajian kes terbaru, “Pemerdagangan Manusia di Malaysia: Fokus pada Wanita dan Kanak-kanak”, yang kini boleh didapati di wao.org.my.

Di samping melindungi mangsa keganasan rumah tangga, WAO turut menyediakan perkhidmatan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan manusia dan segala bentuk keganasan terhadap wanita lain. Dalam laporan kajian kes terbaharunya, WAO menerapkan pengalaman mangsa pemerdagangan untuk meneliti tenaga penggerak di sebalik pemerdagangan manusia, populasi berisiko, dan undang-undang domestik, serantau dan antarabangsa yang mencegah pemerdagangan dan melindungi mangsa.

“Pemerdagangan manusia adalah satu bentuk eksploitasi terhadap mangsa, dan amalan sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara kita, di mana, kita mendukung nilai-nilai moral dan maruah manusia,” kata Lainey Weiss, bekas Pegawai Advokasi WAO dan pengarang laporan ini.

Laporan ini turut mengemukakan cadangan kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan NGO, untuk mengukuhkan undang-undang dan dasar yang melindungi daripada pemerdagangan manusia, serta meningkatkan sokongan kepada mangsa.

“Dalam menyediakan laporan ini, matlamat kami adalah untuk memaklumkan setiap anggota masyarakat Malaysia bahawa pemerdagangan manusia adalah satu isu sistemik yang memerlukan tindakan bersama dan perubahan sikap agar ia dapat dibanteras daripada masyarakat kita,” kata Weiss, sambil menambah, “Ini bukan masanya untuk menunding jari; kita semua memainkan peranan untuk membasmi masalah sosial ini.”

Penerbitan laporan kajian kes ini disokong oleh Y.B. Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Pentadbiran, Integriti dan Hak Asasi Manusia. Daniel Lo, bekas Pegawai Khas (Hak Asasi Manusia) kepada Senator Datuk Paul Low, juga berkhidmat sebagai pengulas laporan.

Lo menegaskan keperluan untuk meningkatkan tindak balas kolektif terhadap pemerdagangan manusia, sepertimana yang diketengahkan dalam laporan itu, “Kita dikelilingi oleh Cinderella, Rapunzel, dan Oliver Twist, yang merupakan mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita tidak mengambil langkah untuk mengenal pasti dan membantu mangsa pemerdagangan manusia, mereka tidak akan hidup bahagia selama-lamanya.”

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top