skip to Main Content

Kita Perlukan Akta Gangguan Seksual

Minggu ini, seorang doktor ortopedik menjadi tumpuan ramai rentetan aduan salah laku seksual yang dilaporkan terhadapnya. Doktor tersebut telah digantung tugas selama dua bulan bagi membolehkan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, minggu lepas, pembantu seorang timbalan menteri persekutuan pula dipecat serta-merta ekoran gangguan seksual yang dilakukan ke atas seorang pakar optik. Gangguan itu berlaku ketika pembantu berkenaan menemani timbalan menteri tersebut di bilik pemeriksaan.

Kes-kes ini mendapat liputan meluas dan menjadi topik perbualan hangat. Tetapi hakikatnya, isu ini adalah ibarat bara dalam sekam; bagi setiap kes yang dilaporkan, banyak lagi kes yang didiamkan.

Apabila mekanisme akauntabiliti lemah, pemangsa iaitu pelaku gangguan bertindak berani menyalahgunakan kuasa mereka lantas sewenang-wenangnya mengganggu secara seksual tanpa sebarang rasa takut.

Rangka undang-undang negara semasa membabitkan salah laku seksual terlalu pincang dan lompang, sekali gus gagal memberikan perlindungan secara menyeluruh daripada gangguan seksual. Justeru, kita perlu menggubal suatu Akta Gangguan Seksual.

Buat masa ini, kita sudah ada ‘Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ yang memberikan garis panduan kepada pihak majikan untuk menangani kes gangguan seksual di tempat kerja. Walau bagaimanapun, kod ini hanyalah terpakai secara sukarela, lantas majikan boleh memilih sama ada mahu ataupun tidak untuk melaksanakan kod tersebut.

Selain itu, ‘Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam’ juga telah dirangka, namun ia hanyalah bersifat sebagai garis panduan semata-mata, dan hanya terpakai merangkumi sektor penjawat awam.

Di bawah Akta Kerja pula, pihak majikan boleh menyiasat aduan yang diterimanya, namun, boleh menolak daripada mengendalikan aduan tersebut sekiranya majikan tersebut berpendapat bahawa aduan itu adalah “remeh, menyusahkan atau tidak dibuat dengan suci hati”. Oleh hal yang demikian, kes-kes seumpama ini banyak bergantung pada budi bicara majikan, sekali gus membuktikan betapa ketidakadilan batas kuasa menjadi penentu dalam situasi seperti ini.

Lagi pula, Akta Kerja tidak menggariskan hak, pampasan dan perlindungan yang boleh dituntut oleh pengadu kes sewaktu dan selepas tempoh siasatan. Hal ini kerana Akta tersebut hanya menggariskan hak majikan untuk menyiasat, tidak lebih daripada itu. Akta Kerja juga tidak meliputi Sabah dan Sarawak.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan telah mengguna pakai undang-undang tort berhubung gangguan seksual buat pertama kalinya dalam kes yang bersejarah melibatkan dua pekerja Tabung Haji. Hal ini bermakna, mangsa boleh menyaman pelaku di mahkamah dan menuntut pampasan. Akan tetapi, hakikatnya, sesebuah kes sivil menelan kos yang tinggi dan masa yang panjang sekali gus membebankan pengadu. Proses mahkamah pula tidak memberikan ruang privasi kepada pengadu, lantas hal-hal yang rahsia dan sulit tidak dilindungi.

Kepincangan yang wujud dalam rangka undang-undang semasa membuktikan betapa pentingnya Malaysia menggubal Akta Gangguan Seksual yang mesti merangkumi aspek-aspek berikut:

Pertama, definisi gangguan seksual mestilah meliputi semua bentuk gangguan seksual, termasuk penggunaan kata-kata, gambar atau visual, gerak laku, tingkah laku, dan gangguan secara psikologi.

Kedua, Akta Gangguan Seksual mesti meliputi semua aspek lokasi dan menjangkaui skop tempat kerja –  termasuklah institusi pendidikan, tempat awam dan lain-lain – dan juga Sabah dan Sarawak.

Ketiga, Akta Gangguan Seksual mesti mewujudkan mekanisme yang perlu – seperti tribunal bebas – bagi membolehkan pengadu kes mendapatkan keadilan dengan pantas, tidak membebankan dari segi kos dan melindungi privasi. Malah, Akta ini juga harus mewajibkan pelbagai institusi melaksanakan dasar-dasar berkaitan gangguan seksual.

Pelaksanaan undang-undang yang kukuh bagi mencegah gangguan seksual amatlah penting kerana undang-undang merupakan benteng yang menunjukkan bahawa gangguan seksual adalah perilaku yang salah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Namun, seiring penggubalan undang-undang, kita juga perlu mengubah nilai dan norma masyarakat bagi memberi ruang kepada pengadu untuk menceritakan kisah gangguan yang mereka alami.

Hal ini dikatakan demikian kerana nada perbincangan mengenai gangguan seksual seringkali bertukar menyebabkan mangsa gangguan dipersalahkan. Bahkan, menurut sebuah artikel Harvard Business Review, orang ramai sering menganggap mangsa gangguan sebagai pihak yang tidak rasional – ekoran tanggapan stereotaip bahawa wanita ialah golongan yang tidak rasional dan terlampau emosional. Malah, ramai pihak juga cenderung menonjolkan pengadu sebagai punca gangguan sedangkan pelaku gangguan pula dilihat sebagai mangsa yang tidak bersalah. Tanggapan inilah yang menyebabkan budaya mempersalahkan pengadu terus kekal hingga hari ini. Budaya ini membuktikan betapa kita perlu mengubah cara kita berfikir.

Artikel yang sama turut mengetengahkan bahawa dasar pencegahan gangguan seksual perlu membabitkan pihak pemerhati. Justeru, tanggungjawab melaporkan sesebuah kes gangguan seksual tidak digalas oleh pihak pengadu kes semata-mata, bahkan turut dikongsikan bersama. Dasar ini melibatkan peranan setiap ahli masyarakat untuk mengubah budaya yang sarat dengan kecenderungan membiarkan gangguan seksual berlaku.

Secara tuntasnya, masanya sudah tiba untuk kita mengambil langkah mantap untuk memerangi gangguan seksual secara holistik. Penggubalan sebuah Akta Gangguan Seksual ialah langkah permulaan bagi memastikan setiap pengadu kes mendapat keadilan yang setimpal dengan penderitaan yang mereka alami.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top