Skip to content

Mufti Selangor perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan berbaur keganasan rumah tangga

 Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender

Kenyataan akhbar, 29 Januari, 2015

 

Untuk maklumat lanjut: Yu Ren Chung, renchung.wao@gmail.com / 010 225 7971

 

Objektif penubuhan Jabatan Mufti Selangor termasuk memberi dan menyediakan “nasihat dan panduan kepada Sultan, Kerajaan Negeri dan masyarakat”. Namun, pemimpinnya, dilaporkan telah menyebarkan pandangan misogynistic dan yang menyalahi undang-undang.

Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid dilaporkan menyatakan bahawa seorang suami dibenarkan untuk memukul isteri dan anak-anak dalam keadaan tertentu. Ini bukan sahaja kenyataan misogynistic, malah, ia adalah salah di sisi undang-undang.

Menyebabkan “kecederaan secara sukarela” adalah salah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan Akta Keganasan Rumah Tangga jelas menyatakan bahawa keganasan oleh seorang suami terhadap isterinya tidak kira secara fizikal atau psikologi adalah satu jenayah. Undang-undang ini meliputi oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira agama.

Dengan berkata sedemikian, Mohd Tamyes seolah-olah menyatakan bahawa Islam menyokong keganasan dalam keluarga. Kami berkeras menolak kenyataan ini kerana Al-Quran sentiasa menyeru umatnya agar menjaga maruah sesama manusia, keadilan dan kesaksamaan. Ia juga mengandungi ayat tentang kasih saying dan belas kasihan dalam hubungan antara lelaki dan wanita (30:21), bahawa lelaki dan wanita adalah pakaian satu sama lain (2:187), bahawa lelaki dan wanita adalah sesama ahli, salah satu darinya (3:195) mengatakan bahawa lelaki dan wanita adalah rakan dan penjaga masing-masing (9:71). Oleh itu, dengan mengatakan bahawa keganasan rumah tangga boleh diterima dalam keadaan tertentu bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Malaysia telah memberi pendirian yang teguh dan jelas melalui komitmen antarabangsanya. Setelah meraktifikasikan Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kerajaan Malaysia komited dalam “mengutuk diskriminasi terhadap wanita dalam semua bentuk”.

Cadangan Am (General Recommendation) Bil 19 CEDAW menyatakan bahawa keganasan berasaskan gender termasuk keganasan rumah tangga adalah satu bentuk diskriminasi, dan bahawa “keganasan keluarga adalah salah satu bentuk keganasan paling berbahaya terhadap wanita”.

Pendirian misogynistic Mohd Tamyes telah mencalarkan imej dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2015. Ia juga adalah bertentangan dengan Deklarasi Mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita dan Penghapusan Keganasan terhadap Kanak-kanak dalam ASEAN, dimana Malaysia menandatangani pada tahun 2013, yang telah menitikberatkan “kepentingan … [menggalakkan] hak-hak wanita dan kanak-kanak, dan juga untuk mencegah dan melindungi mereka dan mengambil tindakan terhadap segala bentuk keganasan, penderaan dan eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak terutamanya bagi mereka yang ditindas, termasuk kes keganasan rumah tangga.”

Adalah jelas bahawa sebarang bentuk keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Malaysia. Ramai pemimpin telah lantang bersuara terhadap isu keganasan rumah tangga. Ahli Parlimen YB Nurul Izzah, YB Mas Ermieyati, YB Hannah Yeoh, dan YB Nancy Shukri pada tahun lepas telah berdiri bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada Hari Wanita Antarabangsa, mengisytiharkan bahawa tiada alasan untuk keganasan.

Pada November 2014, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, semasa berucap di satu forum sempena kempen antarabangsa 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, bahawa “Tiada budaya atau agama membenarkan kita untuk melakukan keganasan terhadap wanita dan ia adalah satu dosa yang sangat berat jika kita berbuat demikian.” Pada minggu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyeru agar kita mengamalkan sifat “toleransi sifar” terhadap isu keganasan terhadap wanita.

Keganasan rumah tangga dan keganasan berdasarkan gender adalah suatu perbuatan yang kejam yang menjatuhkan martabat wanita, dan ini tidak boleh dibiarkan. Oleh itu, amat mengejutkan apabila seseorang yang sepatutnya membimbing dan menasihati negeri seolah-olah tidak menerima bahawa keganasan rumah tangga adalah satu kesalahan jenayah.

Jabatan Mufti Selangor dan Mohd Tamyes Abdul Wahid perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan beliau.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk berdiri dan menolak pandangan Mufti Selangor yang melampau, misogynistic, dan yang menyalahi undang-undang, dan untuk bersatu menentang segala bentuk keganasan terhadap wanita. Tidak ada justifikasi atau keadaan dimana keganasan rumah tangga boleh dilakukan. Tiada alasan untuk keganasan.

 

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG)

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Sisters in Islam (SIS)

Women’s Centre for Change Penang (WCC)

Association of Women Lawyers (AWL)

All Women’s Action Society (AWAM)

Perak Women for Women Society (PWW)

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)

Tenaganita

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top