Skip to content

Penulisan kreatif wadah perjuangan jati diri mangsa keganasan rumah tangga

Wanita yang pernah rebah lantaran keganasan rumah tangga kini menuntut jati diri dengan penulisan puisi.Ketajaman mata pena menjadi senjata untuk mereka bangkit sebagai wanita mandiri, puisi menjadi ruang mencari bekal harapan, kesembuhan dan memperdengarkan suara yang hampir lenyap dek ketakutan.

Kembara Hidup Tina: koleksi ungkapan dan puisi oleh mangsa keganasan rumah tangga, buku yang baru dilancarkan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) merupakan wadah bagi wanita-wanita ini untuk meluahkan hati dan perasaan mereka.

Buku ini hasil rentetan bengkel penulisan kreatif yang diusahakan oleh penulis wanita, Bernice Chauly berserta mangsa-mangsa keganasan rumah tangga yang diadakan di rumah perlindungan WAO.

“Menulis mampu menyembuhkan. Pedih, perit, luka, takut, sengsara, hampa, malu, hina – menulis mengungkapkan kesengsaraan yang dialami dengan kata-kata, mengubahnya menjadi suatu bentuk karya dengan nilai seni,” begitu menurut Bernice.

“Bengkel penulisan kreatif ini berupaya menyuntik keyakinan dalam diri kami untuk melontarkan apa yang jauh terpendam di lubuk hati. Kami meraih kekuatan untuk bangkit semula, malah secara tidak langsung, kami juga lebih berani mendepani detik hitam yang menimpa kami,” ujar Linda Iskandar yang turut serta dalam bengkel tersebut.

Bernice Chauly dan Kelvin Ang, pegawai advokasi WAO menyusun atur hasil penulisan wanita-wanita ini untuk mengilhamkan watak Tina sementara pelukis, Chan Wen Li menghidupkan jasad watak Tina ke alam realiti.

”Watak Tina yang kami ketengahkan adalah seorang wanita yang berjaya menggagahi pahit getir pergolakan rumah tangga. Dalam diri Tina, wujud elemen yang mirip wanita lain, yang memahami rencam dan rencah hidup dihimpit keganasan dalam keluarganya, namun tetap tegar dalam menuntut keadilan dan maruah diri,” ujar Wen Li.

“Kami cuba sedapat mungkin untuk menterjemahkan watak Tina agar ‘suara’ Tina melambangkan cetusan buah fikiran dan pelbagai kisah yang dipaparkan oleh wanita-wanita yang berani ini,” tambah Wen Li.

“Tidak ramai yang mampu menyelami jatuh bangun perjuangan sepi seorang mangsa keganasan rumah tangga. Kami bawakan kisah realiti hidup yang diharungi wanita-wanita ini agar masyarakat dapat menghidu sekiranya berlaku keganasan dalam kalangan mereka, malah sesama insan yang kita kenali,” jelas Kelvin.

Kembara Hidup Tina telah dilancarkan pada 9 Disember 2017 sekali gus meraikan kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender di seluruh dunia.

Kembara Hidup Tina ditaja oleh Selangor Properties Berhad, University of Nottingham Malaysia Campus, KL Writers Workshop, dan In den Vremde.

Untuk mendapatkan senaskhah buku Kembara Hidup Tina ini, pembaca hanya perlu menghulurkan derma RM30 atau lebih kepada “Women’s Aid Organisation” menerusi akaun CIMB, 80-0238299-7 dengan rujukan “TINA”. Sila email alamat untuk kiriman buku dan bukti pembayaran kepada womensaidorg@gmail.com.

Sokongan pembaca dapat membantu WAO agar terus memperjuangkan nasib mangsa keganasan rumah tangga dan mengubah kembara hidup wanita-wanita ini.

###

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top