Skip to content

Undang-undang keganasan rumah tangga telah ditambah baik. Apakah langkah seterusnya?

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) 

Rang Undang-Undang (Pindaan) Keganasan Rumah Tangga 2017 telahpun diluluskan dengan sokongan sebulat suara oleh sidang Dewan Rakyat pada petang semalam. RUU ini amat mustahak dalam membantu mempertingkatkan perlindungan bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, memperluaskan definisi keganasan rumah tangga, serta menambah baik peruntukan program kaunseling.

Syabas diucapkan kepada Y.B. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kakitangan dasar dan undang-undang Kementerian atas pencapaian ini. Kami juga menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua 22 ahli Parlimen yang telah memberikan pandangan yang bernas sepanjang tempoh pendebatan.

Justeru itu, apakah langkah seterusnya yang perlu diambil? Bagi memastikan undang-undang ini berkesan dalam membantu masyarakat, kami menyarankan pihak kerajaan untuk mengambil 10 langkah berikut:

1.    Pastikan RUU tersebut menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan.  RUU sekarang akan dibentangkan di Dewan Negara dan seterusnya diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Menteri bertanggungjawab dalam menetapkan tarikh penguatkuasaan undang-undang baru tersebut.

2.    Kemaskini garis panduan. Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga menyenaraikan tanggungjawab agensi-agensi kerajaan. Garis panduan rasmi ini perlu dikemaskini, termasuk dengan memasukkan prosedur-prosedur baru. Agensi-agensi kerajaan berkenaan lain yang belum dimasukkan sebelum ini, termasuk Jabatan Imigresen, perlu disertakan dalam Garis Panduan.

3.    Peruntukkan dana yang berpatutan. Badan-badan kerajaan perlu diberikan peruntukkan dana yang mencukupi untuk melaksanakan dasar-dasar baru. Misalnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu diberikan dana untuk membawa masuk pegawai khusus untuk kes-kes keganasan rumah tangga, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberikan dana untuk menambah jumlah pegawai barisan hadapan dalam Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11).

4.    Tambah baik sistem. Tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan, terutamanya pegawai kebajikan dan pegawai polis akan bertambah. Justeru itu, bagi memastikan koordinasi yang lancar antara agensi-agensi, proses pengendalian makluamat dan sistem rujukan (termasuk proses, hardware dan software) yang digunakan haruslah disemak semula dan ditambah baik.

5.    Tingkatkan kapasiti. Pegawai-pegawai kebajikan, pegawai-pegawai polis, timbalan-timbalan pendakwa raya, pihak mahkamah serta pegawai-pegawai kerajaan lain perlulah dilatih selaras dengan pindaan baru ini. Latihan sedia ada juga perlu ditambah baik kerana pelaksanaan undang-undang sekarang juga tidak seragam.

6.    Wujudkan mekanisme koordinasi. Pelbagai pihak terlibat dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga. Mesyuarat pihak berkepentingan yang melibatkan kesemua pihak (termasuklah agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO) perlu dijalankan setiap suku tahu, di peringkat-peringkat negeri dan negara, bagi memudahkan koordinasi ini

7.    Wujudkan sistem pemantauan. KPI untuk semua pihak yang terlibat perlu dikenal pasti, diikuti perkembangannya, serta diwar-warkan secara umum.

8.    Jelaskan sebarang ketidakpastian. Beberapa isu mungkin memerlukan penjelasan yang lebih teliti. Contohnya: bagaimana pegawai-pegawai polis harus mengimplementasikan perluasan takrifan keganasan rumah tangga, dan bagaimana penambahan baru seksyen 326A Kanun Keseksaan (yang meningkatkan hukuman maksima bagi kesalahan keganasan rumah tangga) mengubah keupayaan majistret dalam mengkompaun kesalahan.

9.    Perkasakan mangsa untuk mendapatkan perlindungan. Kita perlulah menyediakan tempat perlindungan, bantuan kewangan, serta bantuan penjagaan kanak-kanak yang secukupnya, bagi membolehkan mangsa-mangsa meninggalkan situasi keganasan. Kita perlu tingkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling dan bantuan mahkamah bagi membantu mangsa dalam proses mendapatkan perlindungan.

10.    Tingkatkan kesedaran masyarakat. Mangsa-mangsa keganasan rumah tangga perlu dimaklumkan tentang hak-hak baru, mesyarakat perlu dididik tentang peranan mereka dalam membanteras jenayah keganasan rumah tangga, dan satu pesanan kuat perlu diberikan yang keganasan rumah tangga adalah salah di sisi undang-undang.

Syabas diucapkan atas langkah positif ini. Kami berharap agar dapat terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dalam usaha membebaskan setiap ahli masyarakat daripada belenggu keganasan rumah tangga.

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) :

  1.  Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
  2. Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC)
  3. Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)
  4. Persatuan Peguam Wanita (AWL)
  5. Justice for Sisters
  6. Persatuan Wanita Untuk Wanita Perak (PWW)
  7. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  8. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  9. Sabah Action Resource Group (SAWO)
  10. Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS)
  11. Sisters in Islam
  12. Tenaganita

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Back To Top